JKKK, terima kasih atas komitmen & kesediaan terima amanah KN

KEPALA BATAS – Bagi memantapkan peranan dimainkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK), sebuah jawatankuasa kecil (biro) antara pihak berkaitan dengan Exco-exco Kerajaan Negeri (berdasarkan portfolio masing-masing) bakal diwujudkan.

Timbalan Ketua Menteri I merangkap Exco Pembangunan Industri, Perdagangan Antarabangsa, Keusahawanan & Koperasi dan Perhubungan Masyarakat, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon berkata, dalam perancangan ke arah matlamat berkaitan, setiap JKKK perlu menghantar sekurang-kurangnya dua ahli untuk menganggotai biro yang akan diketuai oleh Exco-exco tertentu.

“Selain bertujuan memperkembangkan aktiviti di peringkat kampung dan taman, biro-biro ini diharap dapat memacu Kerajaan Negeri sebagai negeri contoh dalam aspekaspek kemasyarakatan,” katanya pada Majlis Makan Malam Anugerah JKKK Terbaik Negeri Pulau Pinang 2015 di sini baru-baru ini.

Hadir sebagai tetamu kehormat, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

Mengulas lanjut, Mohd. Rashid memberitahu bahawa JKKK perlu memainkan peranan penting untuk menyalurkan maklumat betul kepada umum, menepis fitnah yang tidak benar dan menjadi penghubung antara Kerajaan Negeri, jabatan-jabatan atau agensiagensi berwajib dengan masyarakat setempat.

Malah, serentak itu, beliau turut menggesa pihak berkaitan supaya mengambil bahagian dalam pertandingan Anugerah JKKK Terbaik Peringkat Negeri yang dianjurkan saban tahun.

“Platform ini merupakan peluang terbaik bagi membolehkan JKKK mengembangkan lagi potensi yang ada dalam kalangan ahli. Dalam pada itu, Guan Eng menzahirkan ucapan terima kasih kepada pimpinan JKKK di atas kesediaan menerima amanah yang diberikan selaku perantara Kerajaan Negeri dengan masyarakat di akar umbi.

“Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua JKKK…tanpa komitmen yang tinggi daripada anda, segala dasar Kerajaan Negeri tidak akan dapat disalurkan dengan baik dan berkesan.

“Di sini juga saya ingin mengucapkan terima kasih kepada ahli-ahli JKKK daripada parti PAS yang telah memberikan khidmat kepada Kerajaan Negeri selama ini dan akan menghormati keputusan mereka untuk menamatkan perkhidmatan dengan Kerajaan Negeri,” ujar beliau.

Johan JKKK terbaik bagi setiap lima daerah di negeri ini masing-masing membawa pulang RM3,000, sijil penghargaan dan piala.

Johan untuk Kategori Anugerah Profil JKKK Terbaik membawa pulang hadiah RM1,000 beserta sijil penghargaan.