Jom! kongsi suasana rai Aidilfitri dengan keunikan Pulau Pinang di Design Village, 22 Jun

Admin

GEORGE TOWN – Kemeriahan sambutan Aidilfitri masih dirasai dan diraikan dengan penuh semangat perpaduan dalam kalangan rakyat di Pulau Pinang khasnya, yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.

 

Exco Pembangunan Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan Pulau Pinang (PETACH), Yeoh Soon Hin berkata, kepelbagaian inilah yang menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri yang unik.

 

“Berlandaskan keunikan tersebut, PETACH buat julung kalinya menganjurkan ‘Penang Celebrates: Hari Raya with Radio Sinar’ di Design Village pada 22 Jun 2019 ini.

ACARA ‘Penang Celebrates: Hari Raya with Radio Sinar’ bakal diadakan di Design Village Penang’s Outlet Mall, 22 Jun 2019.

 

“Tujuannya adalah untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri bukan sahaja dengan orang tempatan tetapi juga para pelancong sama ada (pelancong) domestik mahupun antarabangsa.

 

“(Program) ini juga sangat unik dengan menampilkan persembahan daripada artis-artis tanah air selain menampilkan DJ dari Sinar.fm iaitu Pink Azwan dan Adifashla.

 

“Selain itu, pengunjung juga boleh merasai pelbagai makanan tradisi Melayu dan sekiranya ingin kelainan, kendera saji (food truck) turut ditempatkan sepanjang program berlangsung,” katanya pada sidang media di Komtar, tengah hari ini.

 

Hadir sama, wakil penaja lokasi dari Design Village, Mohd. Faeiz Mohd. Shaffin selaku Eksekutif Pengiklanan dan Promosi Design Village Penang’s Outlet Mall serta Eksekutif Perakaunan (Radio Airtime & Digital Sales) Astro Radio, Ozi Ong.

 

Menurut Soon Hin, pihaknya akan menganjurkan lebih banyak acara di bawah nama ‘Penang Celebrates’ dalam menjadikan negeri ini sebagai destinasi penganjuran acara, konsert dan festival terkemuka di Malaysia.

 

“(Dan) ‘Penang Celebrates: Hari Raya with Radio Sinar’ merupakan acara keempat diadakan selepas kejayaan penganjuran serupa pada sambutan Hari Natal tahun lalu, Chap Goh Mei dan Tahun Baru Cina tahun ini,” ujarnya lagi.

 

Difahamkan, antara artis yang akan memeriahkan acara yang dijangka bermula pada jam 6:00 petang ialah Ara Johari, Kumpulan Nama, Benzooloo dan Sandra Dianne.

 

Turut diadakan adalah persembahan bunga api sebagai acara kemuncak.

 

Jom, ramai-ramai kita pi Design Village, 22 Jun ini..!