Naik taraf HPP Fasa 2 selesai, diharap mampu pendekkan tempoh menunggu rawatan pembedahan – Exco

Admin

GEORGE TOWN – Penaiktarafan Dewan Bedah Hospital Besar Pulau Pinang (HPP) yang telah siap sepenuhnya diharap mampu memendekkan tempoh menunggu bagi menjalani rawatan pembedahan buat pesakit.

 

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata, dengan siapnya projek Fasa 2 tersebut, kes-kes yang sebelum ini dihantar ke hospital lain dapat dirujuk semula oleh HPP.

 

“Sebelum ini ekoran ada masalah kerja naik taraf di Dewan Bedah, pesakit telah dirujuk ke Hospital Seberang Jaya, Hospital Kepala Batas mahupun Hospital Bukit Mertajam untuk rawatan lanjut, tetapi kini operasi perkhidmatan ini akan berjalan semula seperti sedia kala.

 

“Dengan siapnya Dewan Bedah ini, diharap tempoh menunggu untuk pesakit yang perlu menjalani pembedahan dapat dipendek serta dicepatkan,” ujarnya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Naik Taraf HPP Fasa 2, di sini pagi ini.

 

Terdahulu, majlis penyerahan siap kerja dilakukan oleh syarikat kontraktor dilantik, Fadzill Contruction Sdn. Bhd. kepada Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKR) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

 

Hadir sama wakil daripada KKR, KKM dan pihak kontraktor serta beberapa kakitangan pengurusan HPP.

 

Projek Naik Taraf HPP Fasa 2 tersebut merangkumi lima skop utama iaitu kerja naik taraf medical gas, sistem penyaman udara fasa 2 di Blok B, naik taraf Dewan Bedah dan sistem penyaman udara, pembinaan tapak tangki Oksigen Vaccum Insulated Evaparator dan naik taraf bangunan rawatan intensif pediatric (PICU).

 

Terdahulu, Afif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya memberitahu bahawa projek naik taraf HPP Fasa 2 berkenaan terpaksa dilanjutkan ekoran terdapat pertambahan skop kerja di Dewan Bedah berkaitan.

 

“Sebelum ini, projek terpaksa dilanjutkan masa ekoran terdapat sedikit masalah di Dewan Bedah kerana sepanjang tempoh projek berjalan ada pertambahan skop kerja yang perlu dilakukan.

 

“Ini berkaitan soal keselamatan di Dewan Bedah berkenaan di mana kerja-kerja perlindungan radiasi perlu dilaksanakan,” ujarnya lanjut.