Jom sertai kayuhan Penang International Bridge To Bridge (PgIB2B) 2019, 30 Jun ini!

AR. Yew Tung Seang (tiga dari kanan) dan wakil pihak-pihak terlibat turut melancarkan poster promosi PgIB2B 2019 pagi tadi.

GEORGE TOWN – Orang ramai khususnya peminat sukan berbasikal di seluruh negara dialu-alukan untuk menyertai acara  Penang International Bridge To Bridge (PgIB2B) 2019 yang dijadualkan berlangsung pada 30 Jun ini.

 

Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang berkata, buat julung kalinya kayuhan basikal menjelajahi kedua-dua jambatan termasyhur di dalam negara iaitu Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (Jambatan Kedua) akan diadakan serentak.

 

Menurut Tung Seang, ia adalah peluang keemasan yang tidak harus dilepaskan oleh orang ramai dan peminat sukan berbasikal.

 

“Lazimnya cyclist memang ada impian untuk jelajahi Jambatan Pulau Pinang yang termasyhur di negara kita dan terkenal di Asia.

 

“Jadi dengan kerjasama erat bersama-sama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Jambatan Kedua Sdn. Bhd. (JKSB), PDRM (Polis Di Raja Malaysia) dan komuniti berbasikal telah menjadikan impian ini satu kenyataan,” ujarnya ketika berucap pada sidang media pengumuman tersebut di Komtar pagi ini.

 

Hadir sama, Ahli-ahli Majlis MBPP; Setiausaha Bandaraya, Ir. Addnan Mohd. Razali; Pengarah LLM Wilayah Utara, Mohammed Ridzuan Jahidin dan Pengerusi Penganjur, Datuk Dr. Lim Seh Guan.

 

Mengulas lanjut mengenai penganjuran tersebut, Tung Seang memberitahu bahawa kayuhan akan dimulakan seawal jam 7 pagi di perkarangan Queensbay Mall.

 

“Peserta akan memulakan kayuhan ke Jambatan Pulau Pinang (jambatan pertama) dan berhenti di pejabat Paramount Property dekat Batu Kawan yang merupakan penaja utama bagi acara ini.

 

“Kemudiannya, peserta kayuhan akan melalui Jambatan Kedua dan tamat di Queensbay Mall semula,” jelasnya.

 

Sementara itu, Seh Guan berkata, keselamatan peserta kayuhan adalah menjadi keutamaan dalam penganjuran PgIB2B.

 

“Kita (penganjur) ada membeli insurans khas kepada para cyclist, jadi tapisan akan dibuat oleh PDRM sebelum menaiki jambatan.

 

“Kita tidak mahu lagi ada ghost rider (pengayuh tidak berdaftar)… sekiranya tiada jersi, anda tidak dibenar untuk meneruskan kayuhan.

 

“Bagi yang berminat anda diminta untuk melakukan pendaftaran segera kerana ia hanya dihadkan kepada 3,000 peserta awal ,” tegas Seh Guan.

 

Pendaftaran boleh dilakukan melalui laman sesawang http://event.howei.com/event/b2b-ride-2019. Pendaftaran akan mula dibuka pada 1 Februari dan sebelum 15 April 2019.

 

Yuran pendaftaran RM130 kepada warganegara dan bukan warganegara (RM180).

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD