JPJ lancar kaunter bergerak, mudahkan urusan penduduk di SPS

Admin

JAWI – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melancarkan perkhidmatan kaunter bergerak bertempat di Pejabat Daerah Dan Tanah Seberang Perai Selatan (SPS) yang akan beroperasi setiap hari Isnin bermula hari ini.

Majlis pelancaran perkhidmatan berkenaan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap merangkap Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Dr. Amar Pritpal Abdullah dekat Dewan Seminar Pejabat Tanah Dan Daerah SPS, di sini pagi ini.

Amar dalam ucapannya menzahirkan penghargaan kepada pihak JPJ di atas inisiatif tersebut yang bakal memudahkan urusan kira-kira 191,000 penduduk di daerah berkenaan.

“Sebelum ini penduduk di SPS terpaksa pergi ke Seberang Jaya (Seberang Perai Tengah) untuk menyelesaikan semua urusan berkaitan JPJ.

“Oleh itu, saya amat mengalu-alukan usaha ini demi keselesaan penduduk ditambah lagi dengan lokasi yang dipilih amat sesuai iaitu di Kompleks Pejabat Kerajaan yang menempatkan semua jabatan kerajaan,” ujarnya lagi.

Justeru, katanya, bagi memastikan maklumat berkaitan perkhidmatan itu benar-benar sampai kepada penduduk, pelbagai promosi dan hebahan perlu dibuat oleh semua pihak terutama ahli-ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK).

“Jadi, marilah kita bersama-sama menggembleng segala sumber yang ada untuk meningkatkan lagi kesejahteraan masyarakat di samping memberikan perkhidmatan terbaik kepada seluruh penduduk di negeri ini,” seru Amar.

Sementara itu, Pengarah JPJ Pulau Pinang, Mohamat Johari Mat Nor yang turut berucap sebelum itu memberitahu, antara urus niaga disediakan melalui perkhidmatan yang dibuka bermula jam 10.00 pagi hingga 3.00 petang itu termasuk pembaharuan lesen memandu (CDL sahaja); pembaharuan cukai jalan; serta semakan dan bayaran saman JPJ.

Pendaftaran My ID (ID portal awam) dan pemeriksaan motosikal secara percuma juga boleh dilakukan melalui perkhidmatan kaunter bergerak berkenaan.

Hadir sama, ADUN Jawi, H’ng Moon Lye; Zulkifli Ibrahim (ADUN Sungai Acheh); Pegawai Daerah SPS, Yazman Yahya, Ketua-ketua Jabatan serta beberapa pengerusi JKKK.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS