JPJ, SPAD diminta ambil serius isu teksi

Admin

Oleh : ZULIANA AZIZ

BUKIT MERTAJAMPrihatin dengan masalah dihadapi pengusaha kecil teksi, Ahli Majlis Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Steven Sim telah hadir melawat pejabat Persatuan Pemandu-Pemandu Kereta Sewa/ Teksi di Summit di sini bagi membincangkan segala kekusutan yang melanda golongan berkenaan baru-baru ini.

Semasa perjumpaan tersebut, Steven berjanji akan mendapatkan peruntukan berkenaan beberapa permohonan dikemukakan setiausaha persatuan, Abdul Malik Saad bagi mengindahkan kawasan perhentian teksi yang didapati sudah usang.

Selain itu, pengerusi persatuan, Mohd. Zaki Omar turut membangkitkan beberapa masalah dihadapi ahli-ahli termasuk kehadiran van dan kereta sapu yang beroperasi tanpa permit di sekitar sini.

“Persatuan telah berulangkali membuat aduan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), tetapi masalah ini masih belum selesai,” katanya dalam satu kenyataan di sini baru-baru ini.

Lanjutan itu, Steven menyeru agar kedua-dua kementerian terlibat mengambil serius masalah dihadapi kerana aktiviti kereta sapu tanpa permit bukan sahaja mengancam mata pencarian pengusaha kecil teksi, malah, operasi haram yang tiada seliaan turut mendatangkan bahaya kepada penumpang serta pengguna jalan raya lain.

“Saya ber harap agar penguatkuasaan lebih ketat akan dilaksanakan oleh pihak berkuasa terutama pada hari-hari cuti kerana kebanyakan kenderaan sapu ini banyak membawa pekerja-pekerja migran pada hari kelepasan.

“Pada masa sama, orang ramai juga dinasihatkan supaya hanya menggunakan perkhidmatan kenderaan sewa ataupun teksi yang berdaftar sahaja,” tegas Steven lagi.