Curi logam dalam dawai, penduduk rugi RM100,000

Admin
RUPA bentuk kabel yang menjadi sasaran pencuri logam.
RUPA bentuk kabel yang menjadi
sasaran pencuri logam.

SEBERANG PERAIPenduduk rumah pangsa Taman Baiduri menanggung kerugian kira-kira RM100,000 ekoran kes kecurian logam di dalam dawai elektrik milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di sini baru-baru ini.

Kejadian tersebut menyebabkan 30 buah alat elektrik di 47 buah rumah pangsa kos rendah rosak akibat kejadian litar pintas.

Menurut jurucakap Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Soon Lip Chee, kes kecurian yang dilaporkan merupakan kejadian kedua dalam tempoh masa seminggu di mana kes sebelumnya berlaku di Butterworth.

“Kes kecurian di Butterworth adalah melibatkan kecurian di rumah kedai serta pencawang elektrik. Akibatnya, penduduk serta pemilik rumah kedai terpaksa menanggung kerugian.

“Mungkin disebabkan harga pasaran logam yang tinggi sekarang telah mendorong suspek untuk melakukan kegiatan tidak bermoral tersebut. Mereka (suspek) mencuri dan kemudiannya menjual dengan harga tinggi demi mengaut keuntungan dengan cara singkat,” ujar Lip Chee ketika ditemui wartawan Buletin Mutiara baru-baru ini.

Malah, menurut Lip Chee lagi, terdapat satu kes kecurian dawai yang berlaku di kawasan Industri Kecil Sederhana (IKS) Juru pada pertengahan bulan April lalu sehingga mengakibatkan sebahagian pemilik industri ringan tidak dapat beroperasi.

“Setakat ini, belum ada sebarang tangkapan dibuat kerana tiada bukti jelas dan suspek dipercayai menjalankan aktiviti pada waktu tengah malam,” tambah beliau.

“Kami (MPSP) berharap penduduk yang mengalami masalah gangguan elektrik supaya menghubungi TNB di talian 15415 pada kadar segera. Ini adalah bagi membolehkan pihak terbabit dapat mengambil tindakan segera di pencawang elektrik,” tambah Lip Chee.