Jumlah penerima bantuan seragam sekolah Bt. Uban meningkat

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

Gambar: G. REVATIC

 

BATU UBAN – Seramai 250 pelajar terpilih daripada keluarga kurang mampu menerima bantuan seragam dan kelengkapan persekolahan bagi sesi persekolahan 2015 di sini baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)nya, Dr. T. Jayabalan ketika ditemui berkata, pelajar-pelajar berkenaan dipilih dari enam kawasan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) di Batu Uban.

“Tahun lepas (2013), kita cuma mampu beri bantuan kepada 150 pelajar sahaja, tetapi tahun ini, dengan kerjasama JKKK kita berjaya mengenalpasti 250 pelajar kurang berkemampuan untuk menerima bantuan ini.

“Diharap ia akan meringankan bebanan ibu bapa dan saya juga berharap tahun-tahun mendatang, jumlah bantuan dapat ditingkatkan lagi,” katanya pada majlis ringkas penyampaian baucar masing-masing bernilai RM100 di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Kumari Devi, 40, yang hadir bersama tiga anaknya berasa amat lega apabila menerima bantuan tersebut.

“Terima kasih kepada YB Jaya (Jayabalan), saya syukur sangat dan lega kerana ketiga-tiga anak saya menerima bantuan ini,” katanya kepada Buletin Mutiara.