Kajian semula Akta Kawalan Sewa, KN perhalusi 2 perkara utama

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri kini sedang dalam peringkat kajian semula Akta Kawalan Sewa bagi memastikan pemilik rumah atau premis di zon Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town di sini tidak sewenang-wenangnya meningkatkan kadar sewa masing-masing.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, kajian tersebut bakal membabitkan dua perkara utama sebelum ia diputuskan sama ada akan diperkenalkan semula atau sebaliknya.

“Pertama, dari sudut perundangan, kita (Kerajaan Negeri) telah rujuk perkara ini dengan Penasihat Undang-undang Negeri Pulau Pinang dan memohon pandangan beliau.

“Apa yang kita perlu perhalusi ialah adakah ia (Akta Kawalan Sewa) boleh diperkenalkan semula kerana pada tahun 1997, Kerajaan Negeri Pulau Pinang (ketika itu) termasuk semua Kerajaan Negeri lain di Malaysia telah bersetuju untuk memansuhkan akta ini.

“Di atas persetujuan bersama inilah, timbul persoalan adakah kita (Kerajaan Negeri) boleh mengembali atau memperkenalkannya semula seperti keadaan sebelumnya (sebelum tahun 1997),” ujarnya ketika diajukan soalan berhubung perkara berkaitan selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Jual Beli 320 Rumah Mampu Milik di The Rise, S.P. Chelliah di sini baru-baru ini.

Difahamkan, laporan beberapa akhbar tempatan sejak awal bulan ini menggamit perhatian banyak pihak apabila mendedahkan tindakan sebuah firma hartanah dipercayai dari Singapura yang bertindak membeli sebahagian besar bangunan warisan di George Town.

Mengulas lanjut, Jagdeep memberitahu, perkara kedua adalah Kerajaan Negeri kini dalam proses mengumpul maklumat lanjut berhubung berapa banyak rumah atau premis yang telah terjejas ekoran maklum balas berkaitan.

“Kalau banyak, baru kita boleh pertimbangkan dan kaji sama ada nak buat (pengenalan semula) sedemikian atau tidak.

“Saya harap maklumat dapat dikumpul secepat mungkin bagi membolehkan maklumat-maklumat berkaitan disampaikan kepada pihak Kerajaan Negeri dan barulah keputusan dibuat sama ada perlu atau tidak Akta Kawalan Sewa diwujudkan semula di Pulau Pinang,” jelas beliau.

}