Karnival Kerjaya KADUN Jawi 2.0 penuhi keperluan informasi berkaitan peluang pekerjaan

Admin

JAWI – Bagi memenuhi keperluan informasi berkaitan peluang kepekerjaan dalam kalangan masyarakat, Pejabat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Jawi sekali lagi menganjurkan program Karnival Kerjaya pada 22 September lalu.

Program yang berlangsung dekat pasar raya C-Mart Nibong Tebal itu turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Tenaga Kerja Butterworth.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)nya, Jason H’ng Mooi Lye berkata, program yang dianjurkan buat kali kedua pada tahun ini diadakan selepas mengambil kira suasana persaingan yang semakin sengit untuk mendapatkan pekerjaan dalam kalangan masyarakat.

“Bilangan graduan dan pelajar lepasan sekolah semakin bertambah tahun demi tahun tetapi iklim ekonomi hari ini membataskan untuk menerima kesemua mereka dalam alam pekerjaan.

“Realiti ini merupakan cabaran besar kepada orang ramai untuk mencari pekerjaan yang sesuai dengan kelayakan ademik dan kemahiran masing-masing.

“Justeru, Karvival Kerjaya ini merupakan medan pendedahan kepada orang ramai terhadap peluang kerjaya dan aspek-aspek penting yang berkaitan termasuk syarat minimum, kelayakan, laluan kerjaya, insentif dan sebagainya,” katanya semasa merasmikan program berkaitan, di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Pulau Pinang, Sazali Kerteh; Ketua Penolong Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Butterworth, Zurianie Md. Sahak; Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Heng Yeh Shiuan serta Pengurus Besar C-Mart Nibong Tebal, Kim Lim Teng.

Mengulas lanjut, Mooi Lye juga memaklumkan bahawa penganjuran program berkenaan juga dapat mendekatkan lagi masyarakat dengan Pusat Khidmat KADUN Jawi.

“Melalui inisiatif ini, maka interaksi Pusat Khidmat KADUN (Jawi) dengan masyarakat dapat dilebarkan, sekaligus memperkasa jaringan yang membuka ruang kepada pembentukan inisiatif-inisiatif susulan,” ujarnya lagi.

Difahamkan, program sama telah dianjurkan pada Mac tahun ini dan ia menerima sambutan amat menggalakkan daripada masyarakat setempat.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADUN