Butterworth bakal diisytihar sebagai zon seni dan budaya – Rozali

BAGAN DALAM – Bandar Butterworth bakal diisytiharkan sebagai zon seni dan budaya seiring dengan penaiktarafan Seberang Perai sebagai bandar raya pada 16 September lalu.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud pada sidang media selepas merasmikan Temasya Bandaraya dekat Padang Dato’ Haji Ahmad Badawi, di sini pada 21 September lalu.

Barisan tetamu khas bergambar kenang-kenangan sejurus selepas perasmian Temasya Bandaraya Sabtu lalu.

“Ini adalah inisiatif yang selalu diminta oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan iaitu YB M. Satees (ADUN Bagan Dalam) yang mahukan Bandar Butterworth dijadikan sebagai zon seni dan budaya.

“Justeru, kita (MBSP) telah kenal pasti kawasan yang terlibat iaitu dari Jalan Heng Choon Thian hingga ke Jeti Lama, Jalan Bagan Luar ke Jalan Dato’ Ahmad Said serta Jalan Pantai,” maklum beliau.

Hadir sama, ADUN Bagan Dalam, M. Satees; Ahli-Ahli Majlis bagi MBSP dan Setiausaha Bandaraya, Ir. Rosnani Mahmod; Pengerusi PUSPANITA MBSP, Datin Che Haliman Ujang; Pengarah Zart Eventive, Zaini Zainul serta ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai MBSP.

Dalam pada itu, Rozali turut memaklumkan bahawa MBSP juga telah menubuhkan Jabatan Seni, Warisan dan Pelancongan bagi memberikan tumpuan dalam usaha menjadikan bandar-bandar lama di Seberang Perai sebagai kawasan tarikan pelancong.

“Usaha pertama yang dijalankan adalah kita (MBSP) akan membuat inventori seniman terdiri daripada semua kategori seniman seperti penyanyi, pelawak, pelukis, pelakon, kartunis, penari dan banyak lagi tanpa mengira kaum, agama dan bangsa.

Sr. Rozali Mohamud meninjau gera-gerai makanan yang dibuka sempena program Temasya Bandaraya.

“Usaha ini adalah bentuk penghargaan kepada penggiat seni yang ada di Seberang Perai kerana sehingga kini belum pernah ada lagi inventori seniman diwujudkan (di Seberang Perai) sama ada melibatkan yang hidup atau telah meninggal dunia.

“(Dan) atas dasar inilah kita (MBSP) akan mempromosikan bandar-bandar lama seperti Butterworth, Bukit Mertajam dan Nibong Tebal sebagai satu tarikan pelancongan dan juga fokus seni dan budaya untuk kajian lebih lanjut.

“Malah, kita sudah ada satu warisan yang amat bernilai iaitu Penang Women dekat Guar Kepah, Penaga yang terkenal di seluruh dunia dan kita akan perkenalkannya lagi,” ulasnya.

Sementara itu, Satees turut mencadangkan supaya ditubuhkan Butterworth Art District bagi kawasan Seberang Perai yang bertujuan menyatukan semua program seni dan budaya di bawah satu platform.

“Selepas ini pejabat saya bersama pejabat Exco (Pelancongan, Seni, Budaya Dan Warisan) dan MBSP akan anjurkan lebih banyak program berbentuk budaya dan seni,” katanya lagi.

Difahamkan, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mana-mana seniman di Seberang Perai boleh menyalurkan malumat kepada MBSP melalui kiriman e-mel ke [email protected] atau Pengarah Jabatan Seni, Warisan dan Pelancongan MBSP iaitu [email protected].

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : MBSP