Karnival kerjaya pikat 1,500 pengunjung

PERAI – Seramai 1,500 pengunjung terdiri daripada lepasan graduan, penganggur dan individu yang ingin mencari pengalaman kerja baharu membanjiri Karnival Kerjaya Temuduga Terbuka ‘Industry Looking For Talents’ di sini baru-baru ini.

Karnival anjuran Jawatankuasa MMK Pembangunan Industri, Perdagangan Antarabangsa, Pembangunan Keusahawanan, Koperasi dan Perhubungan Masyarakat itu adalah bertujuan membekalkan maklumat kepada mereka yang berminat dalam bidangbidang kerjaya tertentu.

Pengerusi jawatankuasa merangkap Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon berkata, kejayaan penganjuran karnival tersebut sekaligus menyangkal khabar angin yang tidak benar mengenai ekonomi negeri Pulau Pinang.

“Ini termasuk khabar angin mengenai penutupan kilang-kilang atau syarikat yang telah lama bertapak di negeri ini.

“Justeru, saya ingin tegaskan di sini bahawa khabar angin itu adalah tidak benar sama sekali,” katanya pada Majlis Perasmian Karnival Kerjaya Temuduga Terbuka ‘Industry Looking For Talents’ di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Mohd. Sharmizan Mohamad Nor dan Pegawai Penyelaras KADUN (PPK) Bertam, Asrol Sani Abdul Razak.

Mengulas lanjut, Rashid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak memberitahu bahawa peluang pekerjaan di Pulau Pinang adalah masih luas dengan catatan kadar pengangguran yang paling rendah dalam negara kini.

“Bagi memastikan sesebuah syarikat atau kilang terus untung, pihak terbabit akan membuat penambahbaikan terhadap sebahagian unit yang ada melalui pengambilalihan oleh syarikat lain yang lebih besar.

“Melalui proses itu, sesebuah unit mungkin terpaksa ditutup atau dikembangkan mengikut keperluan semasa syarikat berkaitan dan bukanlah (penutupan) keseluruhan kilang seperti yang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab,” jelas beliau.

Pada karnival tersebut, sebanyak 500 peluang pekerjaan pelbagai jawatan ditawarkan 12 syarikat yang mengambil bahagian dan berpangkalan di Pulau Pinang.}