Panggilan kertas cadangan GTF 2016 dibuka

GEORGE TOWN – Panggilan kertas cadangan atau call for proposal (CFP) bagi Festival George Town (GTF) 2016 kini dibuka sehingga 31 Disember 2015.

Pengarah GTF, Joe Sidek berkata, pihaknya kini telah menerima beberapa kertas cadangan program dan penyertaan untuk GFT 2016.

“Sehingga awal November, kami telah menerima kertas-kertas cadangan dari seluruh dunia termasuk Brazil, Argentina, Iran, Kanada, Australia dan Korea dan hanya satu kertas cadangan diterima daripada seorang artis di Pulau Pinang.

“Oleh itu, saya ingin mengalu-alukan karyawan, seniman yang ada di tanah air untuk turut sama menghantar kertas cadangan bagi menyertai program GTF tahun hadapan melalui laman web yang telah disediakan (georgetownfestival.com),” katanya pada sidang media di pejabat George Town World Heritage Incorporated (GTWHI) di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pengurus Besar Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) Sdn. Bhd., Dato’ Ir. Jaseni Maidinsa selaku penaja korporat tahunan; Pengurus Besar GTWHI, Dr. Ang Ming Chee; mantan Pengurus Besar GTWHI, Lim Chooi Ping serta wakil penaja korporat dari Kumpulan Boon Siew.

Joe dalam pada itu turut berharap pihaknya dapat memulakan tindakan pengesahan penyertaan pada Januari tahun hadapan dan merancang atur cara menjelang Mac nanti.

“Kita akan umumkan apabila semuanya telah disahkan dalam kalender sambutan GTF 2016 menjelang Mac tahun depan,” jelas beliau.

Tambahnya, sambutan GTF 2016 bakal menampilkan tema berbeza iaitu kenari kuning yang cerah serta menumpukan pada pembinaan keupayaan dan kemasyarakatan tempatan.

“Tahun ini, sejumlah 67.5 peratus programprogram yang dianjurkan sepanjang GTF adalah berkisarkan intipati keMalaysiaan.

“Sebagai sebahagian daripada GTF 2016, Konvensyen Tahunan ke-34 Persekutuan untuk promosi Kebudayaan Asia juga akan diadakan. Sebelum ini, penganjuran tersebut diadakan di Seoul, Tokyo, Bangkok, dan Shanghai, dan pada tahun depan, Pulau Pinang dipilih,” ujar beliau.

Festival George Town 2016 dijadualkan berlangsung pada 29 Julai hingga 28 Ogos depan.} else {