Karnival Rumah Inap Penanti 28 Nov. ‘ala-ala Kerala’

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

PENANTI – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Dr. Norlela Ariffin mahu menjadikan Kampung Terus dengan sungai yang indah di sini sebagai hub industri pelancongan berasaskan rumah inap atas perahu kecil, sebagaimana terkenal di daerah Kerala dekat India.

Karnival Rumah Inap Penanti akan dilaksanakan pada 28 November ini yang turut meliputi kawasan sungai Kampung Tun Sardon dan Kampung Mengkuang Titi di sini, yang mana ia adalah suatu long range planning, iaitu satu perancangan untuk melengkapkan satu perancangan lain ke arah impian yang disebut oleh Norlela.

“Jeti ini dalam satu-satu masa boleh memuatkan 30 bot kecil, pengunjung yang menyertai karnival ini nanti antaranya berpeluang menikmati keindahan flora dan fauna dari Kampung Terus di sini hingga ke Hutan Pelajaran Air Hitam (dekat Tasek Gelugor).

“Sebenarnya, sungai ini adalah backwater (bahagian sungai yang airnya tidak mengalir), sebab itu kandungan mineralnya sangat tinggi dan begitu selamat untuk aktiviti pelancongan.

“Kalau boleh, dibangunkan industri rumah inap terapung sebab di Pulau Pinang memang tiada lagi houseboat, macam industri pelancongan ala-ala Kerala, yang mana rumah inap di atas bot-bot kecil terapung di atas sungai ini,” jelasnya kepada wartawan, selepas melawat projek pemajuan jeti Kampung Terus yang hampir siap sepenuhnya di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan merangkap ADUN Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Dr. Wan Azizan Wan Ismail dan Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Amir Md. Ghazali.

Difahamkan, projek pemajuan jeti Kampung Terus menelan kos RM60,000 dari kelulusan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), susulan Norlela dan sekumpulan nelayan setempat memohon daripada Kerajaan Negeri, semasa Pilihan Raya Kecil Parlimen Permatang Pauh lalu.

“Walaupun aktiviti nelayan di jeti ini tidak sepenuh masa, tetapi, keindahan sungai dan Kampung Terus di sini sangat berpotensi untuk aktiviti pelancongan, macam magical land sebenarnya bagi mereka yang kali pertama datang ke sini,” jelas Norlela.

Norlela memberitahu bahawa projek mega industri rumah inap atas bot-bot kecil terapung di sungai backwater tersebut telahpun dibentangkan kepada Jawatankuasa Mesyuarat Tetap Pembangunan Pelancongan Negeri, Jabatan Perhutanan serta agensi-agensi persekutuan berwajib, dan kini dalam proses menunggu kelulusan peruntukan serta pelaksanaan lanjut.} else {