Karnival STEM erat kerjasama antara Kerajaan Negeri dan JPNPP

Admin

PENANTI – Karnival STEM Sekolah-Sekolah Pulau Pinang 2019 yang diadakan di Institut Pendidikan Guru (IPG) Tuanku Bainun selama empat hari mulai 1 Julai lalu menutup tirainya, semalam.

Majlis perasmian penutup karnival berkenaan telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy.

Dalam ucapannya, Ramasamy berkata bahawa penganjuran karnival berkenaan secara tahunan mampu mengeratkan lagi kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP).

Antara guru dan pelajar yang terlibat dalam penganjuran Karnival STEM dekat IPG Tuanku Bainun.

“Walaupun Karnival STEM adalah acara tahunan anjuran JPNPP, namun ini kali pertama kerjasama rasmi antara JPNPP dan Penang STEM.

“Justeru, dengan kejayaan besar yang dicapai ini, saya yakin bahawa JPNPP dan Penang STEM akan terus berkembang dan mencapai tujuan untuk memberi inspirasi kepada lebih ramai pelajar untuk melanjutkan pelajaran dalam aliran STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) pada masa akan datang,” jelasnya yang juga Pengerusi Penang STEM.

Turut hadir, Pengarah Pendidikan Negeri, Dr. Mahanom Mat Som; Pengarah IPG Kampus Tuanku Bainon, Mohd. Saad Abbas; Pengurus Besar Penang STEM 4.0, Richard Chung; Cik Heng (wakil kepada Ketua Pegawai Eksekutif Globetronics Technologies Bhd., Dato’ Heng Huck Lee) serta Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri, Abdul Rashid Abdul Samad.

Ramasamy yang juga Exco Perancangan Ekonomi, Pembangunan Modal Insan, Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi turut memberitahu bahawa Kerajaan Negeri kini sedang mempersiapkan lebih ramai tenaga kerja profesional dan teknokrat bagi mengisi industri penting di negeri ini pada masa akan datang.

“Terima kasih kepada Globetronics Technology Industries Sdn. Bhd. sebagai penaja utama kerana memberi peluang kepada lebih 1,000 pelajar menyertai program ini.

“Oleh itu, saya berharap agar lebih banyak lagi syarikat multinasional dan juga tempatan tampil ke hadapan untuk menyokong acara ini pada masa akan datang bagi menggalakkan lebih ramai pelajar berminat ke arah pembelajaran STEM,” katanya lagi.

Sebanyak 18 kategori STEM dipertandingkan dalam karnival kali ini yang melibatkan kira-kira 1,300 murid sekolah rendah dan menengah serta 700 guru.

Majlis diakhiri dengan acara penyampaian hadiah kepada pemenang bagi kategori-kategori yang dipertandingkan.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS