Dua mangsa insiden ‘tanah runtuh’ selamat, bomba sifatkan operasi DMAX berjaya

Admin

AIR PUTIH – Tindakan pantas Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) berjaya menyelamatkan dua mangsa yang cedera parah dalam ‘insiden runtuhan tanah’ melibatkan furnikular Bukit Bendera, di sini.

Kedua-dua mangsa terbabit diterbangkan dengan pantas dari atas puncak Bukit Bendera untuk mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Walau bagaimanapun, insiden tersebut hanyalah simulasi latihan Disaster Management Exercise (DMAX) atau pun Latihan Simulasi Bencana Tahap Satu melibatkan pelbagai agensi dalam menguji kesiapsiagaan semua jabatan terlibat.

Pengarah Bomba Pulau Pinang, Saadon Mokhtar dalam sidang media sejurus tamat simulasi berkenaan menyifatkan latihan tersebut sebagai berjaya.

“Daripada operasi ini saya sifatkan ianya berjaya dan memuaskan… matlamat kita mengadakan operasi ini adalah untuk melihat sejauh mana keberkesanan sekiranya berlaku operasi yang sebenarnya di Bukit Bendera.

“Operasi (latihan) yang kita jalankan ini berkenaan tanah runtuh melibatkan dua buah tren (furnikular) ke Bukit Bendera terkandas menyebabkan enam daripada 100 penumpang yang terkandas mengalami kecederaan parah.

“Selain itu, ia juga bertujuan  untuk mengenal pasti tindakan-tindakan daripada pelbagai agensi melibatkan PDRM (Polis DiRaja Malaysia), Jabatan Bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia).

 

Hadir sama, Pengerusi Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP), Cheok Lay Leng; Penguasa Kanan Bomba II, Pengkalan Bomba Udara Bertam, Wahyudi Mohd. Sayuthi serta wakil-wakil dari agensi terlibat.

Tambah Saadon, hasil daripada operasi tersebut pihaknya akan dapat meningkatkan kecekapan sekiranya berlaku bencana sebenar dan akan meningkatkan kerjasama antara semua agensi.

Dalam pada itu, Wahyudi menyatakan bahawa pihaknya segera menghantar bantuan helikopter sejurus dimaklumkan dua mangsa perlu diberikan rawatan.

“Tempoh penerbangan dari pangkalan di Bertam ke sini mengambil masa tujuh minit dan dari Bukit Bendera ke hospital (Padang Polo) pula adalah kira-kira tiga hingga empat minit.

“Keadaan cuaca yang baik, jarak penglihatan jelas dengan kelajuan angin kira-kira lima knot membantu melicinkan operasi ini,” katanya lagi.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD