Perkenal vaksinisasi Pneumokokal dalam jadual imunisasi kebangsaan, desak Exco

PADANG LALANG – Kerajaan Pusat didesak memperkenalkan vaksinisasi penyakit Pneumokokal dalam jadual imunisasi kebangsaan, demi mengurangkan risiko kematian kanak-kanak berusia kurang lima tahun akibat jangkitan bakteria Streptococcus Pneumonia.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata, 200 vaksin Pneumokokal diberikan kepada kanak-kanak berdaftar, serentak dengan penganjuran Karnival Penang Sihat, yang dilangsungkan pada 18 Oktober lalu di padang awam Taman Seri Pauh dekat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Seberang Jaya.

“Selain meningkatkan kesedaran, kita (Kerajaan Negeri) juga ingin mendesak Kerajaan (Pusat) untuk memperkenalkan vaksin ini dalam jadual imunisasi kebangsaan kerana ada kepentingan untuk semua kanak-kanak di negara ini.

“Kami (Kerajaan Negeri) amat berharap agar anjuran Karnival Penang Sihat ini dapat memberi kesedaran yang tinggi dan juga kebaikan kepada masyarakat, dengan mengekalkan gaya hidup yang sihat,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya pada penganjuran karnival tersebut di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon.

Mengulas lanjut, Afif turut merakamkan penghargaan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Parenting 2U yang diwakili Li Jin Chan kerana menyumbang 200 vaksin Pnuemokokal secara percuma sempena kempen “Yes To PnD Campaign” dalam karnival tersebut.

Sekarang ini, kata Afif, ibu bapa yang mempunyai kesedaran serta kemampuan daripada segi kewangan mendapatkan vaksin tersebut dari hospital atau klinik swasta, dengan bayaran antara RM250 hingga 320 bagi satu suntikan untuk anak masing-masing.

Pneumokokal adalah sekumpulan penyakit respirator kompleks yang disebabkan oleh bakteria Streptococcus Pneumonia. 

Lebih daripada 90 stereotype penyakit tersebut boleh menyebabkan jangkitan bakteria dalam darah, radang otak, radang paru-paru dan jangkitan di telinga.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)  menganggarkan risiko kematian tahunan akibat Pneumokokal adalah kira-kira 0.7 hingga sejuta kanak-kanak berusia kurang daripada lima tahun.

Pada peringkat global, jumlah laporan penyakit Pneumokokal yang direkodkan adalah kira-kira 14.5 juta kes, membabitkan kanak-kanak berusia di bawah lima tahun.