Ke 5D Interactive World bagaikan terapung di udara

Admin

KREATIVITINYA telah mengubah sebuah rumah kedai lama dua tingkat berkeluasan 6,000 kaki persegi menjadi Galeri Seni 5D Interactive World.

Galeri seni itu sebaris dengan pasar raya Gama dan pasar raya Penang Times Square, tak jauh, dan kalau berjalan dari Komtar tidak sampai 30 minit.

Pengarah Pemasaran, Adrew Lim memberitahu, sebelum geleri tersebut mula dibuka pada 5 Disember tahun lalu, beliau sendiri pernah membuat beberapa pameran kreativiti di luar negara.

“Sebenarnya, selalu kami buat projek di luar negeri, kita pernah buat pameran di Universal Studio di Singapura, Legoland di Johor Baharu, di taman tema Dubai dan banyak lagi.

“Ada orang bertanya saya, mengapa kamu semua tidak membuka suatu studio yang mempamerkan produk kamu sendiri

“Selepas ada idea ini, ada lagi bertanya, kenapa tidak diwujudkan idea ini di Pulau Pinang?

“Kenapa di sini, tentulah kerana kami semua adalah orang Pulau Pinang, kami nak memberitahu dunia bahawa produk dan tempat (galeri seni) kami ini pun di Pulau Pinang,” jelas Andrew.

Beliau berkata demikian semasa ditemubual oleh wartawan akhbar Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB di galeri seni di sini baru-baru ini.

Andrew dikenali sebagai seorang yang mempunyai minat yang mendalam dalam aktiviti memulihara alam sekitar, sungguhpun beliau adalah penggerak kilang membuat barangan plastik (packaging industries).

Sejak beberapa tahun lalu, beliau mengasaskan Pusat Sumber Alam Sekitar Seberang Perai Utara (SPU), dan kini turut diiktiraf oleh Kerajaan Negeri, melalui Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

5 Zon Ajaib!

Cintanya pada alam sekitar turut diabadikan dalam salah satu zon di Galeri Seni 5D Interactive World.

Di Zon Hijau & Zon Kitar Semula, menurut beliau, antaranya terdapat struktur tenggiling di antara dua alam, yang boleh dinikmati secara 5D.

“3D masyarakat kita memang sudah biasa, tetapi 5D (lima dimensi) lebih interaktif di mana kita boleh nampak struktur, ada pencahayaan, ada bunyi dan boleh disentuh.

“Kita mewujudkan suatu studio lima dimensi yang tiada dalam pasaran, boleh dikatakan ini pertama di Malaysia studio 5D dalam kedai,” jelasnya.

Tambah beliau, barang-barang kitar semula seperti tin minuman, kotak dan kertas merupakan antara bahan asal untuk menghasilkan struktur kreatif di zon tersebut. Difahamkan, ada lima zon kesemuanya.

Antaranya, Zon Animasi umpamanya, pengunjung boleh merakamkan gambar dalam keadaan dilihat terapung di udara.

Ajaib! Jika ingin merasai saat mendebarkan digenggam oleh raksasa, juga terdapat di zon ini.

Di Zon Adikuasa pula, ada busana perang. Lebih menarik, pengunjung boleh merakamkan gambar seakan dipukul kuasa gelombang yang kuat, macam dalam filem kategori sains fiksyen atau ‘super power’.

Jika ingin merasai suasana seperti dalam filem bersiri Matrix, Zon Reka Bentuk mungkin akan memberi pengalaman baharu untuk pengunjung.

Zon Ria pula, pengunjung akan dibekalkan dengan sebungkus selut buatan.

Di terakhir ini, pengunjung berpeluang untuk menghasilkan hasil kerja tangan, seperti acra, tembikar kecil dan sebagainya.

“Sesuai dengan tema kami, Art Creative Education (ACE) atau Seni, Kreativiti dan Pendidikan, di sini antaranya ada satu zon di mana kami cuba mempromosikan aktiviti kitar semula dengan menggunakan kreativiti, untuk mendidik orang ramai.

“Seluruh Malaysia mengenali Pulau Pinang sebagai ‘negeri hijau’.

“1 Jun ini, Pulau Pinang juga akan melaksanakan Dasar Pengasingan Sisa Di Punca, tapi masih ramai kurang pengetahuan bagaimana nak selamatkan bumi ini.

“Walaupun studio 5D atau Galeri Seni 5D Interactive World ini masih baru, kami ingin berkongsi pengetahuan dan pendidikan dengan mereka yang cintai alam sekitar dan Pulau Pinang,” nyatanya.

Mengulas lanjut, Andrew memberitahu, mulai Mac ini, Galeri Seni 5D Interactive World telahpun ada beberapa sekolah dan mahasiswa universiti awam menyatakan hasrat berkunjung ke sini.

“Satu-satu masa, 100 orang pengunjung boleh masuk ke sini.

“Walaupun baru dibuka, purata pengunjung ke sini tiap-tiap hari seramai 150 orang, dan kami sasar 300 orang sehari mulai bulan depan Mac,” jelas beliau, bersyukur dibantu oleh 10 orang di sini.

Galeri Seni 5D Interactive World dibuka tiap-tiap hari mulai jam 9 pagi hingga 6 petang.

Bayaran masuk bagi warganegara dewasa adalah RM18 seorang, manakala warga emas berusia 60 tahun dan ke atas dan kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah (RM12).

Tiada bayaran untuk kanak-kanak berusia 4 tahun dan ke bawah. Bagi pelancong asing, RM30 untuk dewasa dan RM20 untuk kanakkanak.

Harapan Andrew berharap suatu hari nanti Galeri Seni 5D Interactive World akan menjadi salah satu produk pelancongan pendidikan kreatif Pulau Pinang yang terkenal di rantau ini.

“Pulau Pinang memang sesuai sebagai lokasi pelancongan pendidikan, kerana telah banyak lokasi pelancongan dikenali di negeri ini, khususnya di bahagian pulau.

“Pada masa hahadan, kami harap ini boleh menjadi salah satu lokasi pilihan mereka yang berkunjung ke negeri ini, serta minat dalam bidang pelancongan pendidikan dan kreativiti.

Info lanjut, hubungi Andrew Lim di talian +6019 – 475 4248.