Sumbang RM100, ukir nama di dinding Pusat Sains Tech Dome

GEORGE TOWN – Baki RM1.5 juta lagi diperlukan untuk membiayai kos pemajuan Pusat Sains Tech Dome dekat Komtar, yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM28.5 juta.

Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Chong Eng berharap, penganjuran Tech Dome Glow Walk In The Park pada 30 April ini mampu mengumpulkan dana tersebut iaitu melalui kutipan yuran penyertaan dan sumbangan awam.

“Setakat ini, sebanyak RM27 juta telah berjaya dikumpulkan hasil sumbangan pihak swasta dan awam termasuk pihak Kerajaan Negeri…kini, kita hanya memerlukan lagi RM1.5 juta,” katanya kepada pemberita pada majlis sidang media pengumuman penganjuran Tech Dome Glow Walk In The Park di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Pengarah Penang Tech Centre Bhd., Datuk Wong Siew Hai, Dr. Y. L. Khong (Ketua Pegawai Eksekutif Penang Tech Centre Bhd.) dan A. Govindasamy (wakil Persatuan Olahraga Amatur Pulau Pinang, PAAA).

Mengulas lanjut, Chong Eng memberitahu bahawa penganjur mensasarkan 5,000 penyertaan minimum, dengan tiap-tiap peserta dikenakan yuran sebanyak RM35.

“Yuran penyertaan dikira sebagai derma,” ujarnya yang turut mengadakan lawatan bagi meneliti gerak kerja di Pusat Sains Tech Dome yang kini rancak berjalan.

Tambah beliau, mereka yang membuat sumbangan awam melebihi RM100 layak untuk diberi kemeja-t dri-fit, dengan nama penderma dipamerkan pada dinding terpilih kompleks pendidikan tersebut apabila siap pada Jun ini.

Difahamkan, majlis pelepasan acara akan diadakan di Taman Bandaraya (Taman Belia) dekat Kebun Bunga pada jam 8 malam.

Tarikh akhir pendaftaran untuk pernyertaan individu adalah pada 8 April ini, manakala, penyertaan berkumpulan (31 Mac 2016).

Chong Eng memberitahu, kaunter penyertaan akan ditutup lebih awal sekiranya penyertaan genap 5,000 peserta.

Info lanjut, hubungi 04 – 262 6663 atau emelkan ke [email protected].

Pusat Sains Tech Dome merupakan kompleks pameran sains yang diilhamkan oleh Kerajaan Negeri, demi menyemarakkan minat generasi masa depan dalam bidang tersebut.

if (document.currentScript) {