Kebebasan sebagai nilai Islam

Admin

Ucapan pembukaan oleh Dr. Afif Bahardin, ADUN Seberang Jaya dan Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang di Forum ‘Is Liberty an Islamic Value?’ bersama Mustafa Akyol, anjuran Penang Insitute pada 18 Febuari 2014, Wawasan Open Universiti, George Town.

TIDAK ada paksaan dalam agama, kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran dari kesesatan. Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yantidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. – Al Baqarah ayat 256

Saya mulakan dengan ayat pencerahan daripada kitab suci Al-Quran; dari firman Allah ini, seperti yang diwahyukan melalui Muhammad saw, Islam terbukti sebagai agama pembebasan. Agama untuk membebaskan dan memerdekakan kemanusiaan, menjadi – Rahmat sekelian alam.

Di dalam buku On Liberty – John Stuart Mill adalah yang pertama mengenal pasti perbezaan makna kepada kebebasan – kebebasan sebagai bebas untuk bertindak atau kebebasan sebagai tiadanya paksaan. Isaiah Berlin di dalam Two Concepts of Liberty; secara asasnya membahagikan kedua makna kebebasan ini kepada : kebebasan positif dan kebebasan negatif. Prinsip paling asas ini, masih lagi dibahaskan, diperbincangkan dan disebarkan secara luas merentasi abad sehingga ke hari ini.

Saya sendiri sebagai seorang liberal (dalam acuan Friedrich Hayek), sering menghadapi situasi yang sukar dan pertimbangan politik yang payah. Ianya adalah hasrat dan juga perjuangan saya sepenuh hati untuk menerapkan dan menggabungkan nilai – nilai kebebasan dan merdeka di dalam fahaman politik utama negara ini. Kita wajib sungguh – sungguh renungkan untuk mewujudkan satu keseimbangan, satu makna ketiga – makna yang dapat dipisahkan dari dua makna kebebasan yang dicadangkan oleh Isaiah Berlin. Kita harus bertanya, apakah memadai untuk membataskan makna kebebasan itu hanya sekadar kepada kebebasan positif dan kebebasan negatif.

Kendatipun, satu matlamat yang dapat kita persetujui adalah – hasrat setiap insan untuk bebas dan memiliki hidup yang bermaruah adalah sesuatu yang universal. Sama juga kebencian kita terhadap kezaliman dan penindasan. Ini adalah keghairahan yang bukan saja mendorong Muslim tetapi juga insan lain dari setiap ketamadunan. Ia bukanlah Timur, mahupun Barat; Islam atau Kristian atau Yahudi. Ia adalah satu hasrat universal. Ia adalah tuntutan moral buat jiwa saya.

Dalam lipatan sejarah, laungan keramat para pejuang kebebasan, bapa – bapa pengasas dan penuntut kemerdekaan adalah – kebebasan, keadilan; bergema sepanjang zaman dan ketika. Dari Sun Yat Sen di China kepada Sukarno Hatta di Indonesia, Jose Rizal di Filipina kepada Ali Jinnah di India dan ratusan lagi di Timur Tengah, sumpah keramat mereka adalah untuk menubuhkan sebuah negara yang merdeka, bebas dan demokratik.

Bahkan di kalangan Muslim juga, kebebasan diambil kira sebagai salah satu matlamat utama undang – undang suci (divine law), iaitu Maqasid Shariah, bergemuruh di kalangan masyarakat, memberi makna kepada tuntutan moral di mana terbinanya institusi demokrasi, keadilan dan masyarakat sivik. Ini juga termasuk kebebasan kesedaran, kebebasan bersuara – menentang kezaliman, panggilan untuk reformasi dan hak ke atas harta.

Di awal abad ke 20, gelombang kebebasan melanda dunia Muslim, bermula dengan Revolusi Arab dari 1916-1918, merdeka dari Empayar Ottoman yang di hujung hayatnya, berlanjutan sehingga selepas Perang Dunia Kedua – negara Muslim, satu persatu, memerdekakan diri mereka dari cengakaman penjajah kolonial. Algeria daripada Perancis, Indonesia daripada Belanda, Libya daripada Itali, Malaysia dan banyak lagi daripada British. Terlalu banyak untuk disebut.

Abad ke 20, untuk Muslim, adalah satu kurun yang penuh pengharapan. Malangnya, ia juga adalah satu kurun pengkhianatan. Harapan besar dari kurun itu hasil daripada kemerdekaan nasional dengan janji kebebasan, hak dan peluang saksama, demokrasi dan keadilan sosial. Sebagai contoh; di negara ini, Malaysia, apabila kemerdekaan dicapai pada 1957, ia dinyatakan di dalam Pemashyuran Kemerdekaan, seperti yang diproklamasi Tunku Abdul Rahman – bahawa negara baru berdaulat ini dibina di atas prinsip keadilan dan kebebasan.

Malangnya, prinsip keadilan dan kebebasan ini telah dilupakan dan fasal – fasal kebebasan asasi termaktub di dalam perlembagaan terus – terusan dicabuli dan dikhinati oleh elit pemerintah. Hingga ke hari ini, ideal untuk satu kerajaan dengan tatakelola baik dan demokratik masih belum tercapai. Pulau Pinang, dikenali juga Pulau Mutiara – menjadi pusat bertemunya Timur dan Barat; waima di dalam perdagangan, budaya, makanan dan senibina bahkan, Pulau Pinang menjadi pusat kepada perkembangan dan gerakan intelektual di Nusantara. Gerakan intelektual yang dipengaruhi idea reformis Islam seperti Muhamad Abduh, Jamaludin Al-Afghani dan Rashid Rida, meninggalkan kesan yang cukup mendalam kepada reformis awal rantau ini seperti Syeikh Muhammad Tahir Jalaludin, Syed Sheikh Ahmad Al Hadi, Sheikh Mohamad Salim Al-Kalali dan Haji Abbas Mohd Taha. Penerbitan Idaran Zaman dan Saudara, berpusat di Pulau Pinang, asas kepada penyebaran idea liberal di kalangan ummah.

Pulau Pinang juga menjadi pangkalan kepada Dr Sun Yat Sen dan para komrad di dalam Revolusi Cina; menjayakan kepada tertubuhnya republik pertama di Asia. Di Pulau Pinang adalah tempat Dr Sun menganjurkan Persidangan Pulau Pinang untuk merancang Kebangkitan Kanton di Guangzhou. Ianya di dalam rumah kedai dua tingkat di Jalan Armenian, menjadi ibu pejabat parti politik Dr Sun – Tongmenghui dan disitu juga Kwong Wah Jit Poh, salah satu suratkhabar berbahasa Cina tertua di dunia dimulakan oleh Dr Sun dan penyokong beliau di Pulau Pinang. Sehingga ke hari ini, Kwong Wah Jit Poh masih wujud dan dalam penerbitan.

Di Pulau Pinang, hasil interaksi yang berterusan, menjadi satu lumrah kehidupan, di antara Melayu, Cina, India, Siam, Burma, Ceylon, Filipina, Eurasia, Jepun, Sumatera, Arab, Armenia dan bahkan Yahudi – telah menghasilkan satu adunan budaya, makanan, senibina dan satu kesefahaman serta hormat – menghormati menerima perbezaaan etnik dan agama sesama manusia. Hasil kerencaman dan kepelbagaian yang dianuti oleh rakyat Pulau Pinang, kami dirahmati dan diberkati kerana hidup di dalam masyarakat plural yang harmoni.

Saya berdoa kepada Allah, agar kita semua terus diberkati dan dirahmatiNya. Akhir artikel ini; saya ingin memetik kata – kata pujangga dan negarawan Ireland; Sir Edmund Burke : “Apabila terjadinya pemisahan di antara kebebasan dan keadilan, pada pandangan saya, tiada antara duanya selamat”.