Kecualikan cukai pintu, elaun JKKK naik, bukti KN bersih berkebajikan

GEORGE TOWN – Bermula 2017, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang melaksanakan pengecualian cukai pintu kepada semua penghuni rumah kos rendah, rumah kos sederhana rendah dan rumah kampung/bertanah di negeri ini.

Serentak itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng turut mengumumkan potongan cukai pintu 6 peratus untuk semua hartanah lain termasuk hartanah komersil.

Menurutnya, pengecualian cukai pintu sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan yang dapat dimanfaatkan oleh pemilik rumah kos rendah, rumah kos sederhana rendah dan rumah kampung adalah sebanyak RM14,093,705.78, yang mana cukai pintu sepatutnya dipungut pada 2017 oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) ialah RM8,058,628.78 dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), RM6,035,077.00.

“Selain pengecualian cukai yang diberikan sebanyak RM14,093,705.78 ini, Kerajaan Negeri juga terpaksa menanggung bebanan GST (Cukai Barangan & Perkhidmatan) yang dianggarkan berjumlah RM46.2 juta setahun.

“Kerajaan Negeri juga telah mengarahkan MBPP dan MPSP untuk menanggung beban GST untuk tahun 2016 sebanyak RM19.36 juta yang tidak akan dibayar oleh rakyat, tetapi ditanggung sendiri oleh MBPP dan MPSP. Ini juga akan diteruskan untuk tahun 2017. Ini bermakna rakyat Pulau Pinang akan mendapat penjimatan sebanyak RM19.36 juta daripada pembayaran GST,” katanya dalam kenyataan di sini baru-baru ini.

Bagi potongan 6 peratus, Guan Eng memberitahu bahawa inisiatif tersebut bakal memberikan penjimatan kepada pemilik di kawasan MBPP sebanyak RM11,829,732.70 dan MPSP (RM9,907,892.00).

“Potongan 6 peratus cukai pintu ini akan menyebabkan beban kewangan sebanyak RM21.74 juta kepada MBPP dan MPSP,” jelasnya.

Secara keseluruhan, tambahnya, pendekatan oleh Kerajaan Negeri dan PBT mampu menjimatkan 1.7 juta rakyat Pulau Pinang sebanyak RM55.19 juta bagi tahun 2017.

Sementara itu, sebagai galakan untuk mempertingkatkan prestasi Pengerusi dan Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK), Guan Eng mengumumkan kenaikan elaun bulanan sebanyak RM50 daripada RM650 kepada RM700 untuk Pengerusi, manakala, RM550 kepada RM600 untuk Setiausaha.

“Peningkatan jumlah elaun tersebut bakal menambahkan kos keseluruhan sebanyak RM358,800.00 kepada RM6,857,200.00 setahun,” jelasnya.

Mengulas lanjut, tambah Guan Eng bagi ahli JKKK biasa, elaun mesyuarat akan ditambah RM10 daripada RM40 sebulan kepada RM50 sebulan dengan membabitkan kos RM38,870.00 kepada RM466,440.00 setahun.

“Malah, untuk memperkasakan JKKK, Kerajaan Negeri turut memutuskan syarat penglibatan sekurang-kurangnya seorang wanita dalam setiap JKKK.

“Kerajaan Negeri berharap peningkatan kadar elaun bulanan ini akan menjadi pembakar semangat kepada JKKK untuk terus memberi khidmat yang cemerlang kepada rakyat,” seru beliau.