Projek pemuliharaan pantai & pembaikan kualiti air laut di Bt. Feringghi siap Disember 2016

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

TANJUNG BUNGA – Projek pemuliharaan pantai dan pembaikan kualiti air laut di pantai Batu Feringghi dekat sini yang menelan kos RM10,850,000 dijangka siap sepenuhnya pada penghujung Disember 2016.

Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Timur Laut, Haslinda Mohd. Hamran berkata, projek tersebut adalah bertujuan mengatasi masalah penutupan muara dan pencemaran yang berlaku di sini termasuk membendung berlakunya hakisan pantai yang berterusan.

“Projek ini melibatkan kerja-kerja penambakan pantai dengan pembinaan ‘berm‘ (saluran tanggaan) pantai berkelebaran 30 meter daripada garisan pantai semasa dan panjang mencecah 800 meter dengan aras ketinggiannya pada +2.8 meter LSD (least significant digit)

“Selain itu, ia juga melibatkan pembinaan jajaran semula struktur saluran keluar sistem saliran ke laut dari muara Sungai Satu dan Sungai Batu Feringghi sejauh 120 meter panjang,” katanya ketika menyampaikan taklimat perkembangan terkini projek berkaitan kepada Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari; Pengarah JPS Negeri Pulau Pinang, Ir. Sabri Abdul Mulok dan Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Syerleena Abdul Rashid.

Dalam lawatan tersebut, Kon Yeow turut dibawa melihat perkembangan projek pembinaan struktur ‘wetland‘ di Sungai Satu yang kini mencapai 99 peratus kemajuan kerja.

Menurut penyelaras projek ‘wetland’, Prof. Madya Nik Fuaad Nik Abdullah dari Universiti Sains Malaysia (USM), salah satu objektif pembinaan ‘wetland‘ berkenaan adalah bagi memulihara dan meningkatkan kualiti air sungai dari kelas IV ke kelas II yang sesuai digunakan untuk prasarana rekerasi air.

“Kelas IV ini adalah kelas terendah dalam klasifikasi mutu air, yang tidak boleh digunakan untuk aktiviti rekreasi, manakala kelas I merupakan kelas air bersih yang boleh diminum.

“Oleh itu, diharapkan melalui projek ini menggunakan teknologi ‘bio-media’ dapat memulihkan kualiti air sungai di sini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Kon Yeow yang ditemui di tapak lawatan memberitahu, projek ‘wetland‘ merupakan kesinambungan dari isu pencemaran sungai yang berlaku dua tahun lepas.

“Memandangkan isu pencemaran di Sungai Batu Feringghi hampir selesai dengan berjalannya dua projek iaitu projek menaik taraf loji kumbahan oleh SPAN (Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara) serta projek penambakan pasir pantai dan pembinaan jajaran semula struktur keluar sistem saliran oleh JPS, maka inisiatif Kerajaan Negeri seterusnya adalah bagi memulihara dan meningkatkan kualiti air di Sungai Satu dekat sini.

“Projek ini bernilai RM2,107,000 yang merangkumi pembinaan dua ‘wetland‘, penanaman tumbuh-tumbuhan, pembinaan struktur ‘bio-drain‘ serta komponen mekanikal dan teknikal seperti pemasangan dan pengoperasian pam serta ‘blower‘ bagi mengitar semula air di Sungai Satu,” jelasnya yang turut mengalu-alukan inisiatif Kerajaan Persekutuan dalam usaha memulihkan sungai dan pantai di Batu Feringghi di sini.