KM lawat mangsa-mangsa tembakan rambang

LAWAT MANGSA-MANGSA TEMBAKAN… Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng ke Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini bagi melawat semua mangsa tembakan rambang baru-baru ini.

Guan Eng yang diiringi Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr. M. Sukumar turut melawat jurukamera sambilan RTM, Mohamad Amirul Amin Mohamed Amer, 27, yang cedera terkena tembakan rambang di bahagian bahu sebelah kiri dalam kejadian yang berlaku di susur keluar Jambatan Pulau Pinang dari Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu pada 1 Disember lalu.

Dalam lawatan tersebut, Guan Eng turut bertemu ibu kepada Mohamad Amirul Amin, Bunisa Mohd. Ali, 58, dan waris-waris terdekat mangsa-mangsa lain.

“Saya hadir sebagai memberikan ucapan simpati kepada semua, termasuk ibu Mohamad Amirul (Amin). Insiden ini kita (Kerajaan Negeri) perlu serah kepada polis,” jelasnya kepada pemberita.

Dalam pada itu, Guan Eng bersama-sama barisan kepimpinan Kerajaan Negeri turut menziarahi keluarga mendiang S. Murugiah dan Choi Hon Ming yang meninggal dunia dalam kejadian berkenaan.