Kedai jam Tong Eng lebih ‘tua’ daripada Komtar, beroperasi sejak 1952

img 1244

KEDAI jam Tong Eng yang sudah bertapak di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) bukanlah asing bagi generasi “baby boomers” dan generasi Y yang meminati koleksi jam tangan menarik.

Malah, boleh dikatakan koleksi jam tangan yang dijual di kedai itumasih malar segar dan mendapat sambutan pelanggan setiap hari.

img 6600

Menurut pemilik Tong Eng, LIM ENG KEN, 32, beliau adalah generasi ketiga yang mengoperasikan kedai yang memulakan operasi sejak tahun 1952 di Jalan Penang sebelum bangunan Komtar dibuka pada tahun 1978.

“Kami beroperasi sejak tahun 1952 berhampiran dengan balai bomba Penang Road sehingga tahun 1978.

“(Dan) kami memulakan perniagaan secara rasmi di bangunan Komtar pada tahun 1982 walaupun pada ketika itu, bahagian menara belum siap sepenuhnya dan masih dalam pembinaan,” ujarnya ketika ditemui wartawan Buletin Mutiara, WATAWA NATAF ZULKIFLI dan jurugambar, DARWINA MOHD. DAUD.

Di awal penglibatan dalam perniagaan atau sebelum era 1990-an, premis Tong Eng turut menjual pelbagai barangan berjenama mewah seperti pen, minyak wangi, pemetik api, beg duit dan perhiasan-perhiasan lain.

img 6607

“Selepas tahun 1990-an, barangan berjenama sudah semakin berkurangan dan kami memberi fokus kepada jam tangan.

“Sepanjang menjalankan perniagaan ini, jam paling mahal yang pernah saya jual adalah berharga RM100,000,” jelas Eng Ken yang menjual kira-kira 30 jenama jam di kedainya.

img 6602 img 6601 img 6597

Ditanya mengenai saingan dengan model-model jam baharu seperti jam pintar, Eng Ken berkata beliau tidak bimbang dengan senario tersebut kerana mempunyai pasaran yang berbeza.

“Jam pintar lebih kepada sukan dan kasual, berbanding jam di sini yang mempunyai segmen berbeza.

“Di sini, kami menjual produk yang lebih sesuai dengan majlis formal, perkahwinan, majlis rasmi  serta pelbagai lagi, jadi tidak menjejaskan pasaran dalam segmen ini,” maklumnya yang mempunyai sembilan orang kakitangan.

Selain itu katanya, kekuatan Tong Eng bergantung kepada pelanggan tetap yang seusia premisnya, servis selepas pembelian dan baik pulih jam tangan.

img 6603

“Tong Eng mempunyai nilai sentimental tersendiri kepada pelanggan, ada yang datang sini sebab disyorkan oleh ayah atau generasi sebelumnya yang sudah mengenali kualiti kami,” ulasnya lagi.

Sebagai penulis, perkara tersebut memang diakui kerana ayah penulis merupakan salah seorang pelanggan yang mempunyai koleksi jam daripada Tong Eng.

Ditanya mengenai faktor untuk mengekalkan perniagaan Komtar, Eng Ken memberitahu bahawa lokasinya yang terletak di pusat bandar yang menjadi tumpuan sejak dahulu lagi.

“Tambahan pula, kedai ini memang milik kami, pelanggan pun suka kami berada di sini dan mereka minta supaya kami jangan pindah.

img 6606 img 6605 img 6604 img 6597

“Jadi mungkin sebab itulah kami pilih kekal di Komtar sampai sekarang,” seloroh beliau kepada Buletin Mutiara.

Menyentuh mengenai harapan, Eng Ken berkata beliau tidak bercadang untuk menambah cawangan  kerana sudah selesa menguruskan satu-satunya kedai di sini.

“Harapan saya adalah agar lebih banyak penyewa dan peniaga mampu berniaga di Komtar dengan beberapa tawaran oleh PDCSU (Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang Setia Urus) kerana lebih banyak kedai, maka lebih ramai orang akan datang ke Komtar.

“Selain itu, saya juga berharap aliran trafik di Komtar dapat ditambah baik agar supaya sebanyak dapat mempengaruhi kunjungan orang ramai ke sini,” katanya menutup bicara.