Kedai Runcit No. 12 – idea kreatif artis Melayu tempatan diiktiraf

Oleh : YAP LEE YING

Gambar : LAW SUUN TING

PINTU masuk Kedai Runcit No. 12.
PINTU masuk Kedai Runcit No. 12.

KETIKA di zaman kanak-kanak, penulis sering mengayuh basikal ke kedai runcit untuk membeli ‘tikam-tikam’. Setiap kali ‘menikam’, penulis membayar 10 sen. Sekiranya bernasib baik, penulis berupaya memenangi hadiah wang RM1 dan wang itulah yang digunakan untuk meneruskan permainan tersebut.

Bagi mereka yang sebaya dengan penulis, permainan ‘tikam-tikamlah’ yang sering menjadi ‘umpan’ sekiranya ibu memerlukan bahan-bahan masakan tambahan dari kedai runcit. Bagaimanapun, hilang ditelan zaman, dewasa ini, apabila bercakap mengenai kedai runcit, anak-anak muda kini hanya mampu terbayangkan kedai serbaneka 7-eleven ataupun pasaraya-pasaraya besar seperti Tesco, Giant dan Sunshine.

ROZANA Musa (dua dari kanan) dan Norhaslinda Nordin (kanan sekali) ketika ditemuramah Buletin Mutiara.
ROZANA Musa (dua dari kanan) dan Norhaslinda Nordin (kanan sekali) ketika ditemuramah Buletin Mutiara.

Tertarik dengan sipnosis Kedai Runcit No. 12, penulis telah menggunakan kesempatan yang ada untuk mengadakan lawatan ke lokasi pameran di Balai Seni Lukis Negeri Pulau Pinang baru-baru ini. Kagum dan terpegun apabila ternampak ‘tikam-tikam’ tergantung di satu sudut bersebelahan dengan pintu utama. Selain itu, terdapat juga biskut gula warna-warni di dalam tin besar, snek ringan berperisa durian, snek ‘Super Ring’, gula-gula getah berlabel gambar ‘teddy bear‘ dan pelbagai lagi. Yang menariknya, selain bahan pameran, semua barangan di Kedai Runcit No. 12 adalah untuk dijual.

Menurut artis Rozana Musa dan Norhaslinda Nordin yang merupakan antara lima artis terlibat di dalam projek Kedai Runcit No. 12, idea asal projek adalah daripada Kurator Shooshie Sulaiman.

“Shooshie memperoleh idea tersebut ekoran kunjungan beliau ke sebuah kedai runcit berhampiran kediamannya di Setapak, Kuala Lumpur. Apabila Shooshie yang pernah memenangi Anugerah Seni Negara Kurator Muda 2009 menyatakan hasratnya untuk mengetengahkan konsep kedai runcit, kami pada mulanya berasa ‘kekok’ sedikit.

“Walaupun bukan kepakaran kami untuk menghasilkan seni terjemahan besar, hasil perbincangan lanjut dan kerjasama antara rakan sepasukan, akhirnya Kedai Runcit No. 12 berjaya diterjemahkan di dalam tempoh empat hari,” katanya kepada Buletin Mutiara (BM) di sini.

Rozana memberitahu, Kedai Runcit No. 12 bermula apabila Shooshie dijemput oleh Pentas Seni (Stage Art), Singapura untuk mengadakan pameran seni. Dikenali sebagai seorang Kurator yang memiliki idea kreatif, berani dan lain dari yang lain, bagi menepati citarasa masyarakat dari pelbagai lapisan umur serta kaum, Shooshie akhirnya memutuskan untuk menampilkan konsep kedai runcit tradisional Malaysia.

 IMG_6342

Ini kerana, bagi beliau, kedai runcit merupakan satu lokasi yang mengumpulkan pelbagai lapisan masyarakat di negara ini. Selain mendapatkan barangan keperluan, penampilan konsep tersebut adalah bertujuan memperlihatkan kedai runcit pada perspektif seni.

Umumnya, semua barangan yang dipamer dan dijual di Kedai Runcit No. 12 diperoleh (dibeli) dari kedai-kedai runcit lama di Kuala Lumpur, Melaka, Pulau Pinang dan Gombak, Selangor. Malah, permainan ‘tikam-tikam’ masih boleh diperoleh dari sebuah kedai runcit di Melawati, Kuala Lumpur.

Selepas kejayaan di Singapura, Pulau Pinang dipilih sebagai lokasi kedua bagi mempamerkan seni unik berkenaan. Selepas tarikh 26 Ogos 2011, Kedai Runcit No. 12 akan meneruskan perjalanan seninya ke suatu lokasi lain.

Ketika penulis dan jurugambar sedang asyik meneliti barangan dipamer, Kedai Runcit No. 12 menerima kunjungan daripada 15 penjawat awam yang sedang mengikuti Kursus Pemantapan Bahasa Inggeris bawah kelolaan Bahagian Komunikasi Korporat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang.