Tunjuk bukti laporan ekonomi

GEORGE TOWN – “UMNO perlu mengemukakan bukti atau hentikan segala tuduhan dan pembohongan”, tegas Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkaitan dakwaan UMNO yang menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) ‘menyuap’ Economist bagi penghasilan artikel “Malaysia’s Penang State: Getting back its mojo – After a slump, an early engine of globalisation is thriving again” pada 13 Ogos lalu. (Bacaan lanjut, http://www.economist.com/node/21525968)

Dalam artikel tersebut menyatakan bahawa kos yang rendah dan berteknologi tinggi menjadi faktor utama dalam kebangkitan sektor ekonomi dan perindustrian di Pulau Pinang, dewasa ini, berbanding sedekad yang lalu.

Malah turut dinyatakan bahawa Pulau Pinang menyumbang sebanyak 21% dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dan pengaruh politik juga memainkan peranan dalam pencapaian Pulau Pinang sejak 2008.

Jelas menunjukkan bahawa UMNO tidak gembira dengan pujian ke atas pentadbiran Kerajaan Negeri PR”, ujar Guan Eng.

Sejak Kerajaan Negeri berada di bawah pimpinan PR, Pulau Pinang telah banyak mengecapi pelbagai perubahan dan pencapaian. Ternyata usaha Kerajaan Negeri PR dalam membanteras rasuah dan menjalankan urus tadbir ‘Cekap, Akauntabel dan Telus’ berhasil, di samping memberi penekanan terhadap produktiviti, pencapaian dan kemahiran.

Pengadaptasian model urus tadbir yang betul dan kompeten telah membolehkan Pulau Pinang menarik minat pelabur-pelabur asing sehingga mampu mencatat sejarah apabila mencapai jumlah pelaburan tertinggi sebanyak RM12.24 bilion pada 2010.

Di sini saya ingin mengingatkan kepada Barisan Nasional (BN) bahawa PR tidak pernah mempraktikkan ketidakadilan dan tidak telus seperti sesetengah pemimpin pusat dengan membiayai sejumlah wang untuk mengadakan ulasan yang bersifat ‘favourable’ atau menyokong sesuatu pihak bagi tujuan tertentu”, tambah beliau.

Pada 16 Ogos yang lalu, Ahli Parlimen UMNO Bahagian Kota Belud, Abdul Rahman Dahlan dalam laman Twitter menyatakan “As usual. Must must read! RT @satD: @cmlimguaneng @limkitsiang how much u paid Economist 4 D Mojo Advertorial?” (“Seperti biasa. Mesti mesti baca! RT @satD: @cmlimguaneng @limkitsiang berapa banyak awak bayar Economist untuk penerbitan Mojo tersebut?”).

Perihal ini sekaligus menunjukkan belang sebenar UMNO yang sudah ketandusan idea untuk meraih perhatian, sebaliknya mengadakan dakwaan-dakwaan yang tidak berasas dan berunsurkan fitnah.

Dalam pada itu, Guan Eng memohon agar Ahli Parlimen berkenaan mengemukakan bukti kenyataan beliau dan memohon maaf kerana cuba merosakkan dan merendah-rendahkan usaha gigih 1.6 juta warga Pulau Pinang sejak tiga tahun lalu dalam menjadikan Pulau Pinang seperti kini.

mojo