SETELAH beroperasi lebih separuh abad, kedai yang menyediakan pakaian seragam sekolah terkenal di tengah-tengah bandar raya George Town, Kimnovak Sdn. Bhd. (Kimnovak) bakal menamatkan operasi perniagaan pada 31 Julai 2025.
Kedai yang cukup ‘legend’ dan menjadi sebahagian ikon bersejarah dalam perniagaan pakaian seragam sekolah, Kimnovak yang terkenal dengan jenama ‘Guitar’ bukan sahaja menyediakan pakaian seragam sekolah yang lengkap malah aksesori seperti beg sekolah, tali pinggang, alat tulis, kasut, sarung kaki dan juga pakaian unit beruniform turut boleh didapati di sini.
Menurut laporan sebuah akhbar berbahasa Cina, pemilik kedai tersebut, Lim Kooi Hing, 73, dan isteri, Wong Mei Lian, 70, mengakui agak berat hati untuk mengucapkan selamat tinggal sejak mengambil alih perniagaan tersebut sebagai generasi kedua.

Bermula sebagai sebuah kedai gunting rambut, Kimnovak memulakan operasi sekitar tahun 1969 setelah melihat peluang dalam pasaran pakaian seragam sekolah ketika itu. Ternyata, kedai ini masih gah berdiri menongkah arus pemodenan sehingga ke hari ini.
Menariknya, kedai Kimnovak ini juga wujud sebelum berdirinya bangunan Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) yang menjadi bangunan ikonik di Pulau Pinang.
Difahamkan, semua pakaian seragam yang dijual di kedai Kimnovak ini dihasilkan dengan menggunakan kain import dari Jepun yang lembut dan tahan lama. Bukan itu sahaja, ia juga direka khas di kilang sendiri, maka tidak hairanlah apabila pasangan suami isteri ini turut menyediakan khidmat tempahan khas mengikut saiz dan ukuran bersesuaian, menjadikan satu-satunya kedai pakaian seragam sekolah yang menawarkan khidmat tersebut di sini.
Ketika ditemui Buletin Mutiara pagi ini, Kooi Hing memberitahu bahawa beliau dan isteri memutuskan untuk menamatkan perniagaan setelah tiada pengganti yang mahu mewarisi perniagaan tersebut.
“Anak-anak mempunyai pekerjaan sendiri lagipun saya dan isteri sudah semakin tua, sudah tidak (ada tenaga) seperti dahulu.
Kami telahpun memberitahu pelanggan tetap lebih awal (tentang penutupan operasi), ada yang datang beli stok untuk tahun hadapan.
“Stok yang berbaki mungkin akan disumbangkan kepada keluarga yang kurang berkemampuan,” katanya.

Kedua-dua pasangan suami isteri ini sangat ramah dan sudi berkongsi cerita sepanjang 50 tahun lebih menceburi perniagaan ini.
Apabila ditanya mengenai perancangan selepas ini, Kooi Hing dan isteri cuma mengharapkan mereka dapat menikmati kehidupan persaraan dengan tenang dan meluangkan masa bersama-sama keluarga selepas berpuluh-puluh tahun bekerja keras menguruskan perniagaan.
Walaupun hanya berbaki beberapa hari sebelum ditutup, kedai Kimnovak yang terletak di 207, Jalan Magazines masih lagi membuka operasinya setiap hari bermula 10.30 pagi sehingga 6.00 petang.

Penulis pasti, mereka yang pernah membeli pakaian seragam sekolah di sini mempunyai kisah masing-masing. Bagi penulis, arwah ayah selalu membeli kelengkapan sekolah kami adik-beradik di kedai Kimnovak ini sekitar tahun 1990 sehinggalah tahun 2018.
Masih ingat lagi, setiap pembelian pasti akan dapat penanda buku yang mempunyai ruang jadual waktu sekolah ataupun mendapat kapur kasut putih percuma dan kalendar.
Pernah membeli pakaian seragam sekolah di sini? Jom, kongsikan pengalaman dan cerita anda.