“Kehidupan politik & keluarga saling berkaitan antara satu sama lain – TKM II

Admin
PROF. Dr. P. Ramasamy di pejabat.
PROF. Dr. P. Ramasamy di pejabat.

PROF. Dr. P.Ramasamy ialah Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang. Walaupun sudah berusia 62 tahun, namun beliau masih lagi aktif dalam dunia politik. Kehidupan harian beliau sangat padat dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan, aktiviti berkaitan portfolio beliau dan juga mesyuarat.

Beliau mempunyai tiga orang cahaya mata, seorang lelaki dan dua orang anak perempuan. Anak lelaki beliau sudah bekerja manakala kedua-dua anak perempuannya masih lagi menuntut di peringkat universiti.

P.Ramasamy menunjukkan antara buku-buku simpanan peribadi beliau yang menjadi rujukan bagi memantapkan kreadibilitinya sebagai Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang.
P.Ramasamy menunjukkan antara buku-buku simpanan peribadi beliau yang menjadi rujukan bagi memantapkan kreadibilitinya sebagai Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang.

Ketika sesi wawancara khas bersama Buletin Mutiara, Ramasamy menyatakan bahawa dirinya amat bertuah kerana mempunyai isteri yang sangat membantu dalam menjaga urusan kekeluargaan. Malah, beliau sendiri tidak pernah membahagi-bahagikan masa-masa tertentu untuk keluarga dan karier politik beliau. Baginya, kehidupan politik dan keluarga saling berkaitan antara satu sama lain.

Ketika ditanya berhubung pendapat beliau mengenai keadaan politik di Malaysia, Ramasamy menyatakan bahawa sejak dahulu lagi beliau mempunyai rasa tidak puas hati terhadap pentadbiran kerajaan sedia ada. Keinginan tersebut telah mendorong beliau untuk membuat perubahan demi kebaikan seluruh rakyat Malaysia melalui penglibatannya di dalam parti DAP sejak tahun 2005.

Menyentuh mengenai peristiwa yang paling tidak dapat dilupakan sepanjang tempoh tiga tahun menjawat jawatan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Ramasamy menyatakan bahawa tiada pengalaman yang lebih dasyat daripada trajedi akhir peperangan yang berlaku di Sri Lanka iaitu antara ‘Tamil Liberation Tigers of Tamil Eelam’ dan Kerajaan Sri Lanka. Beliau memberitahu bahawa ramai penduduk Tamil yang tidak bersalah telah dibunuh tanpa belas kasihan secara beramai-ramai di Sri Lanka. Perkara tersebut lazimnya tidak dapat dilupakan oleh beliau dan juga seluruh masyarakat Tamil di dunia.

P.Ramasamy (tengah) ketika mempengerusikan mesyuarat Lembaga Wakaf Hindu.
P.Ramasamy (tengah) ketika mempengerusikan mesyuarat Lembaga Wakaf Hindu.

Menurutnya, Karl Marx, Vladimir Ilyich Lenin, Thanthai Periyaar E.V. Ramasamy dan Velupillai Prabhakaran adalah antara tokoh yang menjadi idola beliau. Ramasamy ingin menjadi contoh tokoh yang baik dan disegani. Sebagai wakil masyarakat India, beliau mempunyai tanggungjawab yang amat besar untuk memenuhi keperluan dan permintaan mereka.

Selain itu, Ramasamy turut menyatakan bahawa masyarakat India mempunyai ramai pemimpin tetapi golongan berkenaan tidak memiliki sifat kepimpinan yang baik. Hal ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat India. Walaupun senario tersebut sangat mencabar, beliau bagaimanapun tidak akan berputus asa untuk menangani masalah yang mendatang.

Beliau tidak menafikan bahawa dirinya menjadi harapan masyarakat India di Pulau Pinang ekoran pemilihannya sebagai Timbalan Ketua Menteri II yang juga dilihat sebagai satu-satunya ’wakil’ kaum India di dalam pucuk pimpinan Kerajaan Negeri. Oleh demikian, beliau perlu memberi lebih perhatian terhadap kebajikan masyarakat berketurunan India. Pada masa sama, turut menjaga kepentingan bangsa-bangsa lain.

Pada aspek kebajikan masyarakat India di Pulau Pinang, beliau telah menubuhkan Lembaga Wakaf Hindu yang bertujuan untuk menjaga kepentingan penganut agama Hindu. Di samping mengambil alih pengurusan beberapa buah kuil dan tanah perkuburan bagi mewujudkan sistem penjagaan lebih sempurna, bantuan kewangan juga dapat disalurkan kepada para pelajar berketurunan India cemerlang yang memerlukan bantuan bagi melanjutkan pelajaran ke tahap lebih tinggi.

Ramasamy menegaskan bahawa kerajaan sebelum ini telah gagal memenuhi keperluan rakyat sehingga menyebabkan rakyat hilang kepercayaan terhadap Kerajaan Negeri. Situasi terbabit telah mendorong Pakatan Rakyat (PR) untuk bekerja keras bagi mendapatkan kembali kepercayaan rakyat terhadap sistem pentadbiran yang lebih cekap. Terdapat pelbagai projek dan rancangan yang bakal dilaksanakan demi kepentingan rakyat.

P.Ramasamy (berkaca mata) sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai turun padang bagi mendalami masalah rakyat.
P.Ramasamy (berkaca mata) sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai turun padang bagi mendalami masalah rakyat.