“Kena selalu turun padang, jangan hampakan harapan rakyat,” TKMI

Admin

JKKK Batu Kawan bergambar kenang-kenangan dengan Mansor Othman (barisan tengah, enam dari kanan) dan Ong Chin Wen (barisan tengah, tujuh dari kanan) menunjukkan tanda bagus pada Majlis Jamuan Makan Malam dan Suntikan Semangat JKKK DUN Bukit Tengah.

PENGALAMANNYA sebagai Setiausaha Politik kepada bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga 1998 merupakan bekal yang berharga sewaktu dipilih menjadi Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang bermula pada tanggal 3 Jun 2009 lalu.

Tak sampai usia dua tahun menjadi orang nombor dua dalam Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) di bawah kepemimpinan Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, namanya telah menjadi tumpuan segenap lapisan masyarakat, khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti yang diwakilinya.

SALAH seorang peserta program gotong-royong di DUN Penanti teruja ditegur Mansor Othman (dua dari kiri).
SALAH seorang peserta program gotong-royong di DUN Penanti teruja ditegur Mansor Othman (dua dari kiri).

Kalau bertanya sendiri kepada tuan punya badan, Mansor merasakan pencapaian dan sumbangan yang telah dirakyatkan masih belum memadai.

Tak cukup hari bekerja dari Isnin hingga Jumaat, hari cuti, Sabtu dan Ahad turut dipenuhi dengan program-program kebajikan dan kemasyarakatan dengan rakyat.

MANSOR Othman berbual mesra dengan Ketua Menteri pada Majlis Anugerah Pelajar-Pelajar Cemerlang Pelajar-Pelajar Cemerlang 2010 di Komtar.
MANSOR Othman berbual mesra dengan Ketua Menteri pada Majlis Anugerah Pelajar-Pelajar Cemerlang Pelajar-Pelajar Cemerlang 2010 di Komtar.

Pengalaman Buletin Mutiara seharian mendampingi Mansor pada hari Ahad, 22 Mei lalu cukup berharga. 7 pagi lagi Mansor sudah keluar dari rumahnya di Taman Sri Nibong walaupun program gotong-royong di Penanti dijadualkan pada jam 8.30 pagi.

Kata Mansor, seorang wakil rakyat bukan sahaja perlu disiplin dengan masanya, bahkan perlu menggunakan masa sebaik mungkin untuk berkhidmat dengan rakyat.

“Kalau saya keluar awal dari rumah, saya boleh bertandang ke mana-mana kedai kopi untuk meramahi rakyat di samping mendengar ‘respond’ mereka mengenai gerak kerja (perkhidmatan) kita,” ujar Mansor.

Budaya minum di warung pada setiap pagi tak kira hari bekerja atau cuti digunakan sebaik mungkin oleh rakyat di kawasannya untuk berkongsi cerita dengan Mansor.

Mansor kemudiannya menyertai program Gotong-Royong Perdana di perkarangan Dewan Kampung Taman Baru, DUN Seberang Jaya dalam Parlimen Permatang Pauh bersama-sama Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Komuniti (JKKK) Jalan Hussain Onn. Sukarelawan dari Majlis Perbandaran Seberang Perai Tengah (MPSP) turut menyertai program kemasyarakatan membersihkan kawasan parit supaya bebas dari wabak denggi.

MANSOR Othman mendengar penjelasan beberapa kanak-kanak di gerai pameran bersempena Program Gerak Kerja Perdana Rakyat di Batu Maung.
MANSOR Othman mendengar penjelasan beberapa kanak-kanak di gerai pameran bersempena Program Gerak Kerja Perdana Rakyat di Batu Maung.

Pada sebelah tengah hari, Mansor bergegas pula ke Komtar menyertai Ketua Menteri menyempurnakan Majlis Anugerah Pelajar-Pelajar Cemerlang SPM 2010.

Mansor dalam satu kenyataan media merakamkan penghargaan kepada dua pelajar Melayu yang menduduki senarai 10 pelajar terbaik di peringkat negeri.

“Kalau tahun ini, dua pelajar kita telah membuktikan kecemerlangan masing-masing, kalau boleh 20 pelajar Melayu kita terbaik untuk SPM 2011 tahun depan.

“Saya nak dari kalangan mereka ini datang dari Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Sekolah Agama Bantuan Negeri (SABN), InsyaAllah,” ujarnya.

Tak lama di Komtar, Mansor bergegas pula ke Batu Maung – DUN yang diwakili oleh Abdul Malik Abu Kassim untuk perasmian penutup Program Gerak Kerja Perdana Bersama Rakyat Daerah Barat Daya 2011 yang dijadualkan pada jam 2 petang.

PARA peserta Majlis Perasmian Penutup Kursus Perkahwinan DUN Penanti memberi sepenuh perhatian pada sesi ucapan Mansor Othman.
PARA peserta Majlis Perasmian Penutup Kursus Perkahwinan DUN Penanti memberi sepenuh perhatian pada sesi ucapan Mansor Othman.

Di majlis tersebut, Mansor sempat menyertai acara sukaneka berkeluarga bersama rakyat setempat di samping mengadakan lawatan ke gerai-gerai agensi kerajaan dan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang kebanyakannya menerima partisipasi orang-orang Melayu.

Kemudian beliau bergegas pulang ke kawasannya, iaitu DUN Penanti bagi menyempurnakan Majlis Penyerahan Sijil Pra-Perkahwinan selama dua hari kepada kira-kira 64 pasangan yang kebanyakannya anak muda tempatan.

Sekitar jam 8 malam, Mansor menyertai komuniti warga emas di Balai Raya Kampung Sungai Lembu sempena sambutan Hari Ibu Sedunia yang jatuh pada tanggal 8 Mei 2011. Lebih 20 kaum ibu diraikan pada majlis tersebut dengan upacara memotong kek gergasi oleh Mansor sendiri.

“Semua ibu di sini adalah sebaya dengan ibu saya, jadi walaupun rambut saya kelihatan sedikit beruban, maka tak salah jika saya memanggil semua di depan saya ini sebagai ‘ibu’,” seloroh Mansor disambut gelak-ketawa mereka yang hadir.

9.30 malam, Mansor bergegas juga ke DUN Bukit Tengah untuk meraikan Majlis Jamuan Makan Malam dan Suntikan Semangat kepada semua JKKK di kawasan tersebut.

MANSOR Othman membantu beberapa warga emas memotong kek bersempena sambutan Hari Ibu Sedunia di Balai Raya Kampung Sungai Lembu.
MANSOR Othman membantu beberapa warga emas memotong kek bersempena sambutan Hari Ibu Sedunia di Balai Raya Kampung Sungai Lembu.

Program itu dianjurkan sendiri oleh ADUN Bukit Tengah, Ong Chin Wen. Pemimpin-pemimpin setempat dari PKR, DAP dan PAS turut diraikan dalam majlis itu. program keraian itu selesai pada lewat jam 11.30 malam.

Mansor ditanya, “ada lagikah program selepas ini?”

“Kalau ada pun, kita kena pergi supaya harapan rakyat kepada kita tidak dihampakan,” jawab beliau kepada Buletin Mutiara ketika dalam perjalanan pulang.

TANDANG Mansor Othman (duduk, dua dari kanan) di warung kopi di sekitar DUN Penanti dijadikan tempat rakyat berkongsi cerita masing-masing.
TANDANG Mansor Othman (duduk, dua dari kanan) di warung kopi di sekitar DUN Penanti dijadikan tempat rakyat berkongsi cerita masing-masing.