Keluarga mangsa langgar bum kren terima sumbangan

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri mengucapkan takziah dan menghulurkan bantuan kewangan kepada keluarga mangsa, Allahyarhamah Che Fatimah Ishak, 50, yang maut dalam kejadian kemalangan berdekatan Jalan Masjid Negeri di sini baru-baru ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri melalui pejabat beliau memberi bantuan sebanyak RM2,000 kepada anak tunggal Allahyarhamah, Mohd. Shahmeor Khan, 16.

“Saya harap keluarga mangsa dapat bersabar serta tabah untuk meneruskan kehidupan dan bagi pihak Kerajaan Negeri, kami mengucapkan takziah atas pemergian arwah,” katanya ketika menziarahi keluarga mangsa di Air Itam di sini baru-baru ini.

Dalam kejadian 25 Januari lalu sekitar 6.05 pagi, Allahyarhamah Che Fatimah, seorang jurumesin kilang, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala. Allahyarhamah yang dalam perjalanan ke tempat kerja di Bayan Lepas, maut selepas motosikal Honda Wave yang ditungganginya dipercayai merempuh bum kren yang jatuh merentangi Jalan Masjid Negeri di hadapan  Sekolah Penang Free dekat sini.

Kenyataan dikeluarkan Bahagian Perhubungan Awam, Jabatan Khidmat Pengurusan, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) menyatakan bahawa ketika kejadian, mangsa tidak sempat mengelak kren digunakan kontraktor pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit untuk menjalankan kerja-kerja membaiki lampu jalan yang tiba-tiba terbalik dan merentangi jalan sebelum itu.

Turut bersama Mohd. Shahmeor adalah suami mangsa, Najib Khan Ismail Khan, 42.