Mangsa kebakaran harap bina semula rumah

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

TELUK KUMBAR – Mangsa kebakaran, Shahini Shafie, 50, yang mengalami anggaran kerugian kira-kira RM100,000 apabila sebuah kereta Proton Saga FLX baru turut musnah dalam kejadian tersebut bertekad membina semula kediaman beliau di tapak sama di Kampung Sungai Batu di sini.

“Kalau boleh saya nak dirikan semula rumah di sini. Saya sangat mengharapkan bantuan.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang prihatin dan orang ramai yang datang membantu,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Nasib Shahini memperoleh perhatian Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng yang hadir menyampaikan sumbangan termasuk daripada peruntukan beliau sendiri, peruntukan Timbalan Ketua Menteri I, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan sumbangan pendahuluan dari Tabung Bantuan Bencana TYT (Tuan Yang Terutama).

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim dan Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin.

Shahini memberitahu, beliau hanya mengetahui rumahnya terbakar setelah dimaklumkan melalui telefon oleh jiran terdekat.

“Mujurlah tiada isteri dan anak-anak di rumah, tiada harta benda yang dapat diselamatkan kerana api marak terlalu cepat ekoran angin kuat.

“Jumlah keseluruhan kerugian adalah dianggarkan berjumlah RM100,000 termasuk sebuah proton saga baru FLX,” ujarnya yang kini menetap di rumah abangnya di 291, Mukim 11, Sungai Batu di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri prihatin terhadap nasib yang menimpa keluarga Sharini.

“Kita tampil menghulurkan bantuan kilat atas dasar prihatin.

“Walaupun beliau kehilangan harta benda, namun, yang lebih bermakna dan bernilai adalah tiada kemalangan jiwa berlaku.

“Harap dapat mula balik dan kita akan cuba hulurkan mana-mana bantuan yang perlu. Beliau, isteri dan anak-anak perlu tabah hati,” ujar beliau.

Sebarang bantuan boleh disumbangkan ke akaun Sharini Shafie, 0714 – 0187 – 9975 – 23 (CIMB).