Program zero waste tambah pendapatan penduduk

Admin

Oleh: AHMAD ADIL MUHAMAD

PERMATANG NIBONG – Kampung Permatang Nibong bakal menjadi projek perintis bagi program zero waste di Seberang Perai apabila para penduduk di sini mula menjadikan program itu sebagai aktiviti sosial masing- masing.

Setiausaha Perbandaran bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Sr. Rozali Mohamud berkata, penduduk di sini menjadikan program seumpama itu sebagai aktiviti bermasyarakat berhampiran dengan alat pencerna biogas yang diperoleh pada Januari lalu.

“Setiap malam, ada saja penduduk yang datang ke sini untuk membuang bahan sisa organik bagi dijadikan gas memasak dan melihat kawasan kebun kejiranan.

“Keadaan waktu malam adalah amat meriah apabila ada yang turut memasak sambil menjalankan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan sesama mereka,” katanya pada satu sesi lawatan ke Tapak Zero Waste di Permatang Nibong di sini baru- baru ini.

Hadir sama, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin yang turut memperuntukkan ruang di pejabat dan pusat khidmatnya untuk mempamer serta mempromosikan kraftangan daripada koperasi berkenaan.

Menurut Rozali, aktiviti berkenaan wajar dicontohi komuniti dan kawasan perumahan lain kerana di samping bermasyarakat, ia (aktiviti) juga dapat membantu meningkatkan kewangan sesebuah komuniti serta individu.

“Program hijau ini telah mula dijalankan di Permatang Nibong pada tahun 2012 dengan projek untuk menjadikan sisa makanan kepada baja kompos bagi kegunaan di kebun kejiranan.

“Penduduk di sini telah berjaya mengumpul sebanyak 4,529 kilogram bahan kitar semula bermula pada bulan Januari tahun lalu (2013) dan duit tersebut digunakan untuk penyelenggaraan masjid,” jelas beliau.

Lanjutan itu, Rozali memberitahu bahawa Koperasi

Perusahaan Hijau Permatang Nibong juga telah ditubuhkan dengan kerjasama penduduk di sini untuk memasarkan barangan seperti sabun, bahan pencuci, beg, kantung ditenun dan aksesori diperbuat daripada bahan-bahan boleh dikitar semula.

“Hasil daripada jualan itu akan digunakan untuk membeli alat pencerna biogas bagi setiap isi rumah, sekaligus membantu mereka (penduduk) jimat perbelanjaan gas memasak yang kini harganya kian meningkat,” ujarnya.E