Kelulusan letak kerusi meja luar premis berkuat kuasa 1 Januari

PADANG KOTA – Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ong Ah Teong baru-baru ini memaklumkan bahawa peniaga yang mempunyai premis makanan perlu mendapatkan kelulusan permit bagi meletakkan kerusi meja di luar premis masing-masing berkuat kuasa 1 Januari 2018.

Walau bagaimanapun, menurut Ah Teong, beberapa syarat dalam Garis Panduan Permit perlu dipatuhi, antaranya jalan tersebut bukan jalan utama, bermakna hanya jalan servis dibenarkan untuk meletakkan kerusi meja.

“Selain itu, meja yang hendak diletakkan perlu berukuran 3 kaki x 2 kaki dan tidak menghalang laluan pejalan kaki.

“Laluan pejalan kaki mesti disediakan sekurang-kurangnya dua kaki lebar dan perlindungan insurans serta bayaran RM50 sebulan akan dikenakan bagi seunit meja,” ujarnya pada sidang media sejurus tamat Mesyuarat Biasa Majlis Bilangan 12 tahun 2017 dekat Dewan Bandaraya di sini baru-baru ini.

Tambah Ah Teong, pihak MBPP akan menghantar pegawai untuk memeriksa kawasan persekitaran bagi memastikan peniaga memenuhi kriteria dan selamat untuk pengguna jalan raya lain termasuk pejalan kaki sebelum meluluskan sesuatu permohonan permit berkaitan.