Seminit sahaja bayar cukai taksiran guna mesin kiosk

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG JAYA – Demi memudahkan pembayaran cukai taksiran, 10 mesin kiosk disediakan di Kompleks Ibu Pejabat Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) di sini, selain tiga unit lain masing-masing dekat pejabat pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan di Cawangan Jalan Betek, Kampung Jawa dan Jawi.

Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud memberitahu, inisiatif itu membolehkan pelanggan mengambil masa hanya seminit bagi setiap transaksi pembayaran berbanding kira-kira 15 minit jika berurusan di kaunter pembayaran secara konvensional.

“Bagi tempoh kemuncak pembayaran cukai taksiran iaitu antara 1 Disember 2016 hingga 28 Februari 2017, kaunter di Ibu Pejabat MPSP cawangan mencatatkan jumlah sebanyak 133,001 transaksi, dan melibatkan pembayaran cukai taksiran dengan jumlah kutipan sebanyak RM111,946,030.71.

“Dengan adanya mesin kiosk ini, MPSP dapat melencongkan pelanggan menerusi kaunter pembayaran dengan tidak perlu menunggu dalam tempoh masa lebih lama,” jelasnya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh Majlis MPSP di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Setiausaha Perbandaran MPSP, Ir. Rosnani Mahmod, barisan Ahli Majlis serta Pengarah Pemasaran Oneapps Group Berhad, iaitu firma penyediaan mesin kiosk kepada PBT berkenaan. Mengulas lanjut, Rozali memberitahu, MPSP tidak membeli semua unit mesin kiosk tersebut, sebaliknya hanya membayar komisen kepada Oneapps Group Berhad berdasarkan jumlah penggunaan kemudahan pintar itu sahaja.