Kembalikan sepak takraw sebagai sukan teras negara

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menyampaikan RM20,000 sumbangan insentif atas kejayaan pasukan negeri Penang Black Panthers menjuarai Liga Juara Sepak Takraw (STL) 2017 baru-baru ini.

Bercakap kepada pemberita, Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia dan Pulau Pinang, Datuk Seri Ahmad Ismail merakamkan penghargaan atas pentadbiran Guan Eng yang mahu sepak takraw kembali menjadi sukan teras negara dan dipertandingkan dalam
Sukan Malaysia (SUKMA).

“Saya begitu teruja dan kagum dengan komitmen Kerajaan Pulau Pinang yang telah sudi dan sanggup mengiktiraf peranan Persatuan Sepak Takraw Pulau Pinang, yang membolehkan kita menjuarai pelbagai kejohanan.

“Sepak takraw asal dari Pulau Pinang dan merupakan satu-satunya sukan yang negara kita uar-uarkan sampai menjadi sukan antarabangsa.

“Jangan sampai mengorbankan sukan warisan negara kita (iaitu sepak takraw),” tegasnya dalam sidang media bersama-sama Guan Eng di sini 21 Disember lalu.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon; Penasihat Strategik Kepada Ketua Menteri, Datuk Saifuddin Nasution Ismail; Timbalan Presiden Persatuan Sepak Takraw Pulau Pinang merangkap Bendahari Persatuan Sepak Takraw Malaysia, Datuk Abdul Jalil Ariffin dan Jurulatih pasukan negeri, Ahmad Supian Napiah.

Sebelum itu, Guan Eng menggesa Menteri Belia & Sukan, Khairy Jamaluddin supaya kembalikan sepak takraw sebagai sukan teras negara dan dipertandingkan dalam SUKMA.

Malah, beliau turut menggesa Kementerian Belia dan Sukan supaya kembali menyalurkan peruntukan berwajib kepada persatuan sepak takraw untuk membangunkan acara ‘sukan desa’ tersebut.

“Kita harap bahawa Kementerian Belia dan Sukan boleh menerima ataupun memberikan pengiktirafan betapa pentingnya sepak takraw kepada rakyat Malaysia, khususnya dalam kalangan orang kampung.

“Menggugurkan sepak takraw sebagai sukan teras dengan tidak memberikan dana peruntukan pembangunan, saya rasa ini perlawanan dengan aspirasi negara, jangan lupa bahawa sepak takraw bermula di Malaysia,” serunya.

Tambah Guan Eng, rekod pencapaian pasukan sepak takraw negara ‘turun dan naik’ di peringkat antarabangsa itu adalah adat pertandingan, tetapi tidak boleh sampai menggugurkan acara ‘sukan warisan’ tersebut di tanah air ini sendiri.

Sejak ditubuhkan pada tahun 1960, PESENANG atau Persatuan Sepak Takraw Pulau Pinang dilihat menjadi pasukan paling digeruni serta berjaya melahirkan pemain-pemain kebangsaan sehingga kini.

Pasukan Pulau Pinang, ‘Penang Black Panthers‘ sejak 2015 muncul sebagai Naib Juara STL, serta mempertahan kejuaraan dua tahun berturut-turut dalam kejohanan sama pada tahun 2016 dan 2017.

Awal Disember lalu, dilaporkan, Khairy berdalih kononnya beliau mempunyai alasan sendiri untuk menggugurkan tiga sukan iaitu angkat berat, taekwondo dan sepak takraw daripada sukan teras negara, sehingga dikatakan menggamit reaksi pelbagai pihak termasuk kira-kira 5.3 juta peminat tegar sukan sepak takraw sendiri.