Penjawat awam diingatkan tidak sewenang mohon cuti kecemasan, seru Setiausaha Kerajaan Negeri

GEORGE TOWN – Penjawat awam diminta mematuhi peraturan ditetapkan bagi menjamin integriti perkhidmatan awam secara keseluruhannya, ujar Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus.

Katanya, sehingga 30 November 2017, sebanyak 27 kes tatatertib dilaporkan berbanding 37 (kes) pada tahun 2016.

“Daripada jumlah ini, seramai 14 pegawai telah dikenakan tindakan tatatertib buang kerja.

“Manakala, sembilan pegawai dikenakan amaran, pegawai dilucut hak emolumen (4), pegawai ditangguh pergerakan gaji (6) dan pegawai diturunkan gaji (3).

“Tindakan tatatertib ini diharap dapat menyedarkan pegawai berkenaan bahawa pelanggaran tatatertib boleh menyebabkan mereka dibuang kerja,” jelasnya ketika ditemui selepas Majlis Perhimpunan Anggota Perkhidmatan Awam Negeri Pulau Pinang Bersama-sama Ketua Menteri di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Farizan turut mengingatkan penjawat awam negeri agar tidak sewenang-wenangnya mohon cuti kecemasan (EL) hingga mempengaruhi komitmen tugasan harian.

“Saya ingin ingatkan kepada semua penjawat awam agar tidak sewenangnya memohon cuti kecemasan… sekiranya perlu, mungkin kita (Kerajaan Negeri) akan mempertimbangkan syarat khas ini untuk pemberian bonus tahun hadapan (2018),” ujarnya yang merujuk kepada trend peningkatan permohonan cuti kecemasan dalam kalangan penjawat awam di negeri ini.

Mengulas lanjut, Farizan berkata, peningkatan tersebut adalah ekoran syarat-syarat khusus yang mula diguna pakai Kerajaan Negeri bagi pemberian bonus kakitangan sejak beberapa tahun ini.

“Dapat dilihat permohonan cuti sakit dari klinik swasta turun mendadak apabila Kerajaan Negeri mula mengenakan syarat
maksimum cuti sakit swasta untuk pemberian bonus.

“Tapi faktor ini menyebabkan permohonan cuti kecemasan meningkat naik,” ulas beliau.