Kempen Derma Darah PDC terima sambutan amat baik

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memuji usaha murni pihak Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) yang menganjurkan kempen derma darah pada setiap tahun sejak 2007.

Beliau berkata, penganjuran program sedemikian dapat membantu mengisi bekalan tabung darah di hospital-hospital khasnya Hospital Pulau Pinang (HPP) yang kini berada pada paras yang amat rendah.

Beberapa orang penderma darah berjaya dirakan oleh lensa Buletin Mutiara.

“Nampaknya sambutan yang diterima hari ini adalah agak baik yang mana sehingga jam 1 petang ini, seramai 73 orang telah menderma darah.

“Kita tahu bahawa tabung darah hospital sekarang dalam keadaan memerlukan jadi acara seperti ini akan dapat membantu pihak hospital mendapatkan sumber darah bagi memanfaatkan pesakit-pesakit yang memerlukan.

“Oleh itu, syabas diucapkan kepada pihak PDC dan terima kasih kepada semua penderma yang telah menyahut seruan bagi mengisi tabung darah di Hospital Pulau Pinang (HPP),” katanya kepada Buletin Mutiara selepas mengadakan lawatan ke program berkaitan dekat Tingkat 3, Komtar di sini sebentar tadi.

Turut serta, Exco Pembangunan Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan (PETACH), Yeoh Soon Hin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Sarul Bahiyah Abu; Pengurus Besar PCD Dato’ Mohd. Bazid Abd Kahar serta Timbalan Pengurus Besar Kanan PDC, Dato’ Ir. Yeoh Lean Huat dan Jamil Ibrahim.

Difahamkan, Kempen Derma Darah PDC selama dua hari mulai hari ini adalah dianjurkan dengan kerjasama Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-anggota Kerajaan (MAKSAK), HPP dan Hospital Seberang Jaya.

Dalam pada itu, Mohd. Bazid memberitahu bahawa kempen derma darah yang dianjurkan selama 14 tahun berturut-turut itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) PDC kepada masyarakat.

Khairunisa Amalina Mustafa sambil dibantu oleh jururawat bertugas, Emie Suhaily Ab Hamid.

Tambah beliau, pihaknya berhasrat untuk menganjurkan program tersebut pada tahun-tahun yang akan datang.

“Pada saya, ini merupakan program yang sangat digalakkan kerana selain dapat membantu mereka memerlukan darah ia juga akan merapatkan lagi hubungan kakitangan PDC dengan masyarakat.

“Kita gembira kerana setakat ini sahaja seramai 73 orang telah menderma darah berbanding tahun lepas yang mana hanya 60 orang penderma pada satu hari,” ujarnya.

Salah seorang penderma, KHAIRUNISA AMALINA MUSTAFA, 31, ketika ditemui memberitahu bahawa selain dapat membantu mereka yang memerlukan, amalan derma darah juga dapat membantu beliau mengekalkan kesihatan tubuh badan.

“Ini merupakan kali ke-12 saya menderma darah sejak 2008. Saya sangat gembira kerana dapat membantu orang lain yang memerlukan melalui amalan menderma darah.

“Selain itu, derma darah juga membuatkan badan saya berasa sihat,” ulasnya yang bekerja sebagai Pegawai Penguatkuasa di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Batu Uban.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS