Penang Bridge International Marathon 2020 secara maya

GEORGE TOWN – Acara maraton antarabangsa yang paling dinanti-nantikan saban tahun, Penang Bridge International Marathon (PBIM) kini kembali buat julung kalinya bakal diadakan secara maya berikutan penularan pandemik COVID-19 di seluruh dunia.

 

Exco Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan, Yeoh Soon Hin berkata, dengan menggunakan tanda pagar #PBIMVR #RUNNINGAGAINSTCOVID19, acara maraton tahun ini bakal memberi pengalaman berbeza dan menyeronokkan kepada peserta.

 

“Tahun ini merupakan kali pertama, PBIM diadakan secara larian maya atau virtual run menggunakan aplikasi yang boleh dimuat turun di seluruh dunia.

 

“Secara umum, garisan permulaan bagi acara ini boleh jadi di mana-mana sahaja dan larian akan direkodkan melalui aplikasi menggunakan akses GPS (sistem penentududukan sejagat) dan capaian internet,” ujarnya pada sidang media di Komtar, tengah hari ini.

 

YEOH Soon Hin menunjukkan poster promosi Penang Bridge International Marathon Virtual Run 2020 pada sidang media di Komtar.

Hadir sama, Pengurus Projek PBIM, Grace Teoh Koon Gee dan wakil syarikat pereka aplikasi bagi PBIM, Tan Chin Chin.

 

Menurut Soon Hin, PBIM telah menjadi platform pertemuan bagi para pelari maraton sama ada profesional mahupun amatur dari seluruh dunia.

 

“(Dan) tahun inipun tiada bezanya, cuma diadakan secara maya yang mana pihak kami percaya para peserta boleh berlari tanpa batasan di tempat masing-masing.

 

“Meskipun kebanyakan acara maraton atau larian antarabangsa yang ditunda atau dibatalkan kerana COVID-19, PBIM tetap diteruskan secara maya kerana kita tidak mahu mengecewakan peminat tegar yang saban tahun menyokong penganjuran PBIM,” katanya.

 

Difahamkan, kategori maraton dikekalkan kepada tiga kategori iaitu 10 kilometer (km), 21km bagi separuh maraton dan 42km larian penuh.

 

“Penganjuran PBIM 2020 kali ini tidak mempunyai pek penyertaan mahupun pingat tetapi peserta yang layak akan menerima sijil elektronik (e-certificate).

 

“Sijil elektronik ini akan diberikan kepada mereka yang berjaya habis mengikut masa yang ditetapkan iaitu 1.5 jam bagi acara 10km; 3.5 jam (21km) atau 7 jam bagi penuh.

 

Setiap peserta juga diberi masa 48 jam untuk menyempurnakan larian yang mereka sertai mengikut kategori bermula 12:01 pagi pada 21 November 2020 sehingga 11:59 malam pada 22 November 2020 mengikut zon waktu Malaysia.

PENANG Bridge International Marathon 2020 bakal diadakan secara maya.

“Malah, peserta boleh menyertai lebih daripada satu kategori selagi dalam tempoh 48 jam yang ditetapkan,” jelas Soon Hin yang tidak meletakkan sasaran penyertaan tahun ini.

 

Sebagai rekod, penganjuran PBIM tahun lalu (2019), jumlah penyertaan direkodkan adalah 25,000 orang.

 

Ditanya mengenai aplikasi PBIM2020, Soon Hin berkata, aplikasi masih belum sedia.

 

“Nantikan pengumuman lanjut mengenai aplikasi ini yang mana boleh didapati melalui Play Store atau Apple Store secara percuma.

 

“Pendaftaran secara percuma boleh dibuat mulai 1 Oktober ini.

 

“(Dan) bagi peserta yang telah berdaftar untuk PBIM2020 secara automatik akan dibawa ke hadapan untuk PBIM2021, manakala bagi peserta yang tidak dapat menyertai PBIM2021, penyertaan mereka boleh dipindahkan kepada peserta lain.

 

“Kita akan umumkan penganjuran PBIM2021 sekitar bulan Januari tahun hadapan dengan melihat keadaan semasa pnademik COVID-19 kelak,” katanya.

 

Maklumat lanjut sila layari Facebook Page : penangbridgemarathon.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALVIE CHENG