Kemudahan VR di Masjid Kapitan Keling tarikan baharu pelancongan ke George Town – Ketua Menteri

Admin
3b6d8749 f94d 4af1 bf92 cee637a1afde KETUA Menteri (depan, dua dari kiri) diiringi Faruk Raja Mohamed (depan, kiri sekali) dan Kamarudin Abdullah (depan, tiga dari kiri) sempat meluangkan masa menyantuni pasangan pengembara antarabangsa yang melancong dan berkunjung ke Masjid Kapitan Keling, George Town pada 6 Julai 2025.

GEORGE TOWN – Masjid Kapitan Keling yang berusia 224 tahun serta dianggap salah satu mercu tanda kewujudan komuniti muslim di Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town, melakar satu lagi sejarah tersendiri apabila memperkenalkan kemudahan realiti maya (VR) untuk tujuan menggamit kehadiran pengunjung tempatan dan pengembara antarabangsa ke Bangunan Warisan Kelas 1 tersebut.

Demikian respons Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi seusai menyempurna acara perasmian kemudahan VR @ Masjid Kapitan Keling di sini pada 7 Mei 2025.

7f2c8328 eaa8 44b7 b548 9fd013e68da6
KETUA Menteri (kiri) dan Faruk Raja Mohamed (kanan) turut mengambil peluang menguji kemudahan realiti maya (VR) di Masjid Kapitan Keling di sini pada petang tadi.

“Sebenarnya, MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya) pun telah menggalakkan penggunaan VR (yang mana) sebelum ini pun kita pernah lancar (kemudahan seumpama ini) di Armenian Park.

“Bagi saya, kemudahan VR di pusat perkembangan dakwah dan pelancongan terkenal (iaitu) Masjid Kapitan Keling ini sesuatu yang sudah maju (yang mana) dalam 10 minit ia akan memberi pengalaman mendalam kepada pelancong mengenai asal usul kawasan di sini.

“Kandungan menarik VR ini kalau mengenai George Town, ia akan menarik lagi minat pelancong untuk berkunjung ke sini,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow menyatakan bahawa Kerajaan Negeri menerusi agensinya, George Town World Heritage Incorporated (GTWHI) dan Penang Global Tourism (PGT) akan terus bekerjasama dengan agensi Persekutuan seperti Jabatan Warisan Negara (JWN) untuk kerja-kerja pemeliharaan dan pemuliharaan Bangunan Warisan Kelas 1 termasuk Masjid Kapitan Keling dari semasa ke semasa.

Ini kerana, menurut beliau, semua Bangunan Warisan Kelas 1 di sepanjang ‘Jalan Harmoni’ dekat Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town adalah mencerminkan kewujudan kepelbagaian budaya dan masyarakat setempat untuk ditonjolkan kepada pelancong sejagat.

Pengerusi Masjid Kapitan Kling, Datuk Farul Raja Mohamed dan Datuk Haji Kamarudin Abdullah (Ketua Biro Dakwah Masjid Kapitan Keling merangkap Pengasas Islamic Propagation Society International Malaysia, IPSI) turut mengiringi Kon Yeow melihat struktur fizikal fasad masjid ikonik tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : SITI NURATIKAH RAHMAT