Komitmen pelihara khazanah hutan diperkuat menerusi ekspedisi saintifik

Admin
8c002116 74d1 4e45 988b 7f39ab54224d

TELUK BAHANG – Komitmen terhadap pemuliharaan alam semula jadi terus diperkukuh menerusi penganjuran Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan yang berlangsung selama empat hari di Hutan Simpan Teluk Bahang dan Hutan Simpan Bukit Kerajaan, di sini.

 

Ekspedisi yang bermula pada 1 Julai lalu merupakan inisiatif Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pulau Pinang, melibatkan penyertaan pelbagai agensi, ahli akademik, penyelidik dan pencinta alam sekitar bagi menjalankan kajian kepelbagaian spesies flora dan fauna di kawasan hutan simpan terbabit.

 

Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo ketika hadir menyempurnakan Majlis Penutup Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan di Hutan Simpan Teluk Bahang dan Hutan Simpan Bukit Kerajaan di sini semalam, merakamkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada pasukan ekspedisi yang telah menunjukkan dedikasi tinggi sepanjang program berlangsung.

 

exco
S. SUNDARAJOO menyempurnakan Majlis Penutup Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan di Hutan Simpan Teluk Bahang dan Hutan Simpan Bukit Kerajaan.

 

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan terus menyokong dan menggalakkan penganjuran program seperti ini kerana ia bukan sahaja berkualiti, malah mampu memberi pendedahan lebih luas terhadap kepelbagaian biologi serta ekosistem hutan yang kaya di negeri ini.

 

“Pengumpulan data saintifik seperti ini penting dalam usaha merancang pelan pengurusan hutan yang mampan selain memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai kepentingan memelihara alam sekitar.

 

“Ekspedisi kali ini turut mencatat penemuan pelbagai spesies flora dan fauna yang jarang ditemui, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan Pulau Pinang sebagai antara negeri yang memiliki khazanah biodiversiti yang signifikan di Malaysia,” katanya.

 

Hadir sama, Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Zahari Ibrahim; Pengarah Perhutanan Negeri Pulau Pinang, Mohd. Azizun Jaafar; Pengarah Bahagian Silvikultur dan Pemeliharaan Hutan, Dr. Aldrich Richard; Pensyarah Kanan Fakulti Sains, Universiti Malaya merangkap Ketua Penyelidik Ekspedisi, Ts. Dr. Noorhidayah Mamat; serta pegawai kanan, kontraktor dan warga kerja Jabatan Perhutanan Negeri Pulau Pinang yang terlibat secara langsung dalam menjayakan ekspedisi ini.

 

Dalam pada itu, Noorhidayah memaklumkan bahawa penganjuran ekspedisi kali ini bukan sahaja berjaya menghimpunkan lebih 70 peserta dari pelbagai universiti dan agensi berkepentingan, malah turut mencatatkan pelbagai penemuan saintifik penting yang menyumbang kepada pengetahuan biodiversiti negara.

 

dr
NOORHIDAYAH Mamat yang merupakan ketua penyelidik ekspedisi.

 

“Ekspedisi ini merupakan penganjuran kali ke-50 sejak diperkenalkan pada tahun 1999, dan kali kedua diadakan di Pulau Pinang selepas penganjuran pertama pada tahun 2008.

 

“Kali ini, ia dijalankan di dua lokasi penting iaitu Hutan Simpan Teluk Bahang dan Hutan Simpan Bukit Kerajaan,” ujarnya ketika ditemui Buletin Mutiara pada majlis penutup ekspedisi berkenaan baru-baru ini.

 

Jelas beliau, antara objektif utama ekspedisi adalah bagi mengumpulkan data saintifik berkaitan kepelbagaian biologi hutan, selain menyediakan platform kepada para penyelidik serta memperkaya dan mengemas kini bank data sedia ada di bawah pengurusan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia.

 

zombit ant
KOLEKSI baru yang ditemui iaitu Zombie Ant.

 

“Kita bukan hanya meneliti flora dan fauna, tetapi turut melibatkan kajian dalam bidang sosial, rekreasi dan alam sekitar. Malah, sebanyak 26 kertas kerja telah dibentangkan sepanjang ekspedisi ini berlangsung, membuktikan nilai penyelidikan yang sangat tinggi.

 

periuk kera
PERIUK kera.

 

“Antara penemuan menarik yang dicatatkan termasuklah spesies ikan air tawar, serangga semut ‘zombie’, lebah kelulut, lalat buah perosak pertanian, spesies periuk kera, halia asli, lumut penunjuk kawasan terkesan kebakaran, serta pelbagai kajian lain melibatkan kelawar, mamalia kecil dan primat,” katanya.

 

halia
HALIA asli.

 

Mengulas lanjut, Noorhidayah menyatakan bahawa ekspedisi kali ini turut memberi isyarat jelas terhadap keperluan melindungi kawasan bernilai pemeliharaan tinggi (HCV), di samping mengenal pasti kehadiran spesies invasif yang boleh mengancam ekosistem hutan.

 

“(Dan) dengan adanya ekspedisi seperti ini, kita dapat melihat perubahan biodiversiti dari masa ke semasa, mengenal pasti ancaman baru serta menyokong usaha mitigasi awal secara lebih menyeluruh.

 

“Ia juga memberi peluang kepada penyelidik daripada universiti dan agensi berlainan untuk bergabung dalam satu platform yang sangat praktikal dan strategik,” tambah beliau.

 

Beliau juga berharap agar penganjuran ekspedisi saintifik ini diteruskan pada masa hadapan dengan sokongan pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri, universiti, NGO dan komuniti setempat demi memastikan pemeliharaan biodiversiti negara berada pada landasan mampan.

 

Oleh: M. DANESWARAN
Gambar: ALISSALA THIAN