Kenaikan kadar BKN simbol Kerajaan Pakatan utama pendidikan generasi hadapan

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

PADANG LALANG – Seramai 1,166 pelajar baharu dari kelima-lima daerah menerima Biasiswa Kecil Negeri (BKN) bagi tahun 2016, sekaligus menyerlahkan komitmen Kerajaan Negeri hari ini dalam mengutamakan pendidikan generasi hadapan Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Soon Lip Chee berkata, 174 pelajar terpilih dari sekitar Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) diharap dapat memanfaatkan wang biasiswa tersebut untuk perbelanjaan persekolahan dalam kondisi ekonomi kian mencabar.

Tambahnya, Kerajaan Negeri menyedari peningkatan kos sara hidup yang ditanggung oleh rakyat terbanyak sejak Kerajaan Pusat melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sejak 1 April tahun lalu.

“Justeru, dengan pemberian biasiswa ini, diharap dapat meringankan bebanan kewangan yang dihadapi ibu bapa serta waris para pelajar, terutamanya kepada yang kurang mampu,” katanya yang berucap mewakili Ketua Menteri pada Majlis Penyampaian BKN 2016 Peringkat Daerah SPS di sini baru-baru ini.

Dalam perkembangan berasingan, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy yang juga ADUN Perai, Wong Hon Wai (ADUN Air Itam merangkap Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri) dan A. Thanasekharan (ADUN Bagan Dalam) masing-masing turut mewakili Ketua Menteri menyampaikan pemberian BKN di daerah-daerah lain baru-baru ini.

Dalam pada itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam kenyataannya bertarikh 7 Disember lalu menyatakan bahawa bilangan penerima BKN dari tahun 2012 hingga 2016 adalah seramai 4,384 pelajar dengan perbelanjaan sebanyak RM 2,776,440.

“Kadar bayaran Biasiswa Kecil Negeri Pulau Pinang (BKN) telah dinaikkan oleh Kerajaan Negeri sebanyak dua kali mengikut keperluan semasa pelajar. Berikut adalah kadar bayaran bagi Biasiswa Kecil Negeri Pulau Pinang bagi tempoh sebelum 2007 dan sehingga 2016.

“Kenaikan bayaran biasiswa hampir dua kali ganda ini dapat dilaksanakan atas usaha tata kelola baik Kerajaan Negeri. Urustadbir Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) dan kepimpinan yang bersih membolehkan Kerajaan Negeri menikmati lebihan Belanjawan setiap tahun sejak 2008 dan rizab aset telah naik daripada RM850 juta pada 2008 kepada RM1.6 bilion (2015),” jelas beliau.

Lembaga Biasiswa Kecil Negeri Pulau Pinang telah ditubuhkan di bawah Enakmen Kumpulan Wang Biasiswa Kecil Negeri Pulau Pinang 1960 dengan tujuan untuk memberi biasiswa kepada pelajar-pelajar sekolah menengah di Negeri Pulau Pinang.

Biasiswa berkenaan dikendalikan melalui Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Kecil Negeri Pulau Pinang.

Reaksi Penerima:

C. Ermelinda, 13, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Valdor melahirkan rasa gembira kerana tersenarai sebagai penerima biasiswa BKN.

“Ini kali pertama saya dapat biasiswa, saya begitu gembira kerana saya memang memerlukan duit untuk membeli beberapa buku sebagai persiapan akademik saya.

“Gembira…kerana permohonan saya begitu cepat diproses, terima kasih banyak-banyak kepada cikgu dan pemberi biasiswa ini,” jelasnya.

Hezral Afiq Mohd. Arif, 13, dalam nada gembira menyatakan bahawa beliau masih tiada rancangan untuk membelanjakan wang biasiswa tersebut.

“Saya masih tidak ada idea untuk belanja duit biasiswa, tapi duit biasiswa ini saya akan simpan, mungkin ada belanja perlu tahun depan.

“Saya gembira kerana cikgu dan Kerajaan Negeri beri duit biasiswa ini,” ujarnya yang merupakan pelajar SMK Jawi.

Rasa kegembiraan sama turut dizahir oleh Najihah Sohimi, 13, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Nibong Tebal.

“Enam adik-beradik saya, lima bersekolah, tapi kakak saya sahaja dapat biasiswa sebelum ini.

“Saya bersyukur kepada Allah dan begitu gembira kerana mendapat biasiswa ini, saya akan simpan dengan penuh amanah dan belanja sekolah jika perlu nanti,” katanya sambil memberitahu ini kali pertama beliau dipilih menerima biasiswa daripada Kerajaan Negeri.d.getElementsByTagName(‘head’)[0].appendChild(s);