30 pasukan sepak takraw sertai Piala PYDC, Mutiara Impian A juara

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

JAWI – Mutiara Impian A muncul sebagai juara Pertandingan Sepak Takraw Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Piala PYDC 2016, selepas menewaskan pasukan Mutiara Impian F, manakala, tempat ketiga dan keempat dimenangi pasukan POS Malaysia dan Mutiara Impian D.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbandanan Belia Pulau Pinang (PYDC), Teng Kok Liang dalam ucapannya merakam penghargaan kepada penganjur kejohanan tersebut kerana berjaya menerima penyertaan lebih 30 pasukan yang berumur di bawah 30 tahun. “Kerajaan Negeri amat mementingkan pembangunan kawasan di Nibong Tebal.

“Dalam usaha melibatkan golongan belia, PYDC menyediakan platform sukan, termasuk di kawasan luar bandar untuk sama-sama mengambil bahagian dengan matlamat mentransformasikan Pulau Pinang kepada sebuah negeri yang bersih, hijau, selamat dan sihat.

“Saya yakin semua pemain bukan sahaja hendak menjadi juara untuk merebut hadiah wang tunai sebanyak RM1,000 serta piala dan pingat, tetapi, lebih dari itu, iaitu mereka mahu menjalinkan hubungan silaturrahim, bukan sahaja antara pemain-pemain, juga dalam kalangan masyarakat,” jelasnya mewakili Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng pada majlis perasmian penutupan di Gelanggang Berbumbung Taman Berjaya, Jawi di sini baru-baru ini.

Turut serta, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Soon Lip Chee; Pegawai Daerah SPS, Mohd. Ali Sebran; Pegawai Penyelaras KADUN (PPK) Sungai Acheh, Azmi Samsudin dan Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Heng Yeh Shiuan.

Lip Chee dalam ucapannya memberitahu, Kerajaan Negeri hari ini sejak tahun 2013 telah menunaikan janji dengan mewujudkan pelbagai kemudahaan awam untuk komuniti di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Jawi.

“Seperti yang dijanjikan oleh pentadbiran Y.A.B. Ketua Menteri, gelanggang berbumbung ini dan satu lagi gelanggang berbumbung di Kampung Bagan Buaya dekat Changkat, adalah simbol memenuhi keperluan rakyat dan komuniti.

“Bagi golongan belia tempatan, infrastruktur yang disediakan juga akan menjadi platform yang sesuai untuk sukan dan aktiviti,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Lip Chee turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri khususnya MPSP dan Pejabat Tanah & Daerah SPS kerana begitu banyak membantu meningkatkan kemudahan infrastruktur awam di KADUN Jawi