MACHANG BUBUK – Kerajaan Negeri akan memohon agar Jalan Kulim, bermula dari sempadan Pulau Pinang – Kedah hingga ke Bulatan Bukit Tengah diwartakan sebagai Jalan Persekutuan.
Ketua Menteri Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow berkata, pendekatan tersebut adalah bagi membolehkan kerja-kerja pelebaran serta penyelenggaraan dilaksanakan dengan lebih berkesan di bawah seliaan Persekutuan.
“Jalan Kulim di sebelah negeri Kedah telah dinaik taraf kepada enam lorong, namun laluan di bahagian Pulau Pinang masih kekal dalam keadaan sedia ada sehingga mewujudkan ‘hotspot’ kesesakan trafik.
“Kerajaan Negeri telah mencadangkan supaya Jalan Kulim bermula dari sempadan Pulau Pinang dengan Kedah sehingga ke Bulatan Bukit Tengah diwartakan sebagai Jalan Persekutuan.
“Dengan status tersebut, kerja-kerja penyelenggaraan, pelebaran jalan serta projek-projek penambahbaikan dapat dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan demi keselesaan pengguna,” ujarnya ketika mengadakan lawatan sempena program Jelajah CM Chow bagi meninjau keadaan Jalan Kulim serta mendengar sendiri permasalahan dibangkitkan penduduk serta Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Jalan Gajah Mati di sini sebentar tadi.
Hadir sama, Exco Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat, Goh Choon Aik; Ahli Majlis bagi wakil Ahli Dewan Undangan Negeri Machan Bubuk, Ong Jing Cheng dan Pengerusi MPKK Jalan Gajah Mati, Arshad Abu Seman.

Selain isu lalu lintas, Kon Yeow turut dimaklumkan mengenai masalah banjir yang dihadapi penduduk Taman Machang Manis dan beberapa perkampungan berhampiran.
“Isu ini sebelum ini pun kita pernah bincang, maka kita perlu menyusul lagi.
“Penyelesaian jangka panjang memerlukan kerjasama antara Pulau Pinang dan Kedah melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) kerana aliran air melibatkan kedua-dua negeri.
“Masalah banjir di sini tidak boleh diselesaikan oleh Pulau Pinang sahaja kerana sumber air datang dari kawasan Kedah.
“Kita memerlukan kerjasama erat antara kedua-dua negeri serta JPS bagi merancang penyelesaian menyeluruh untuk kawasan Kulim dan Seberang Perai,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan.
Sementara itu, Arshad berharap kedua-dua isu berkenaan dapat diberikan perhatian segera memandangkan masalah banjir dan kesesakan lalu lintas telah berlarutan sejak sekian lama serta memberi kesan kepada kehidupan harian penduduk.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : SIEW CHIA EN