Tapak Pelupusan Sampah Jelutong, rundingan dengan pemaju masih berjalan

Admin
a1b503e7 2df0 47a5 a4c3 1f9269e62be8

BUKIT TENGAH – Kerajaan Negeri  masih meneruskan rundingan bersama pemaju berhubung Projek Tapak Pelupusan Sampah Jelutong, khususnya berkaitan pematuhan syarat bagi mendapatkan kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA).

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, proses surat-menyurat antara Kerajaan Negeri dan pihak pemaju masih berjalan.

“Proses surat-menyurat masih berjalan, kita telah memberi keputusan, pihak pemaju mengemukakan jawapan, dan selepas ini kita perlu memberi satu tempoh akhir kepada syarikat berkenaan.

“Sebelum ini sudah lima kali surat-menyurat dibuat bagi memastikan pematuhan terhadap kehendak Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Kita juga dimaklumkan bahawa terdapat syarat-syarat tambahan baharu yang dikenakan dari semasa ke semasa, dan itu menjadi antara kekangan yang dihadapi,” jelasnya dalam satu sidang media di sini sebentar tadi.

Beliau berkata demikian usai Program Jelajah CM Chow Bersama-sama Komuniti Ibu Tunggal di sini sebentar tadi.

Hadir sama,  Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim; Exco Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat, Goh Choon Aik dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Gooi Hsiao-Leung.

Menurut Kon Yeow, Kerajaan Negeri memahami bahawa sesetengah syarat baharu memerlukan tempoh tertentu untuk dipenuhi, dan tidak mudah untuk dilaksanakan.

“Memandangkan sudah banyak kali lanjutan diberikan, akan sampai masa nanti untuk kita membuat keputusan.

“Ada kalanya syarat-syarat baharu itu mengambil masa untuk dipatuhi, dan mungkin tidak mudah dipatuhi. Itu antara kekangan yang kita hadapi.

“Kerajaan Negeri juga mahu melihat satu langkah muktamad terhadap isu ini. Walau apapun, proses rehabilitasi tapak adalah diperlukan,” tegasnya.

Tambah beliau, sekiranya pihak pemaju masih gagal memenuhi syarat yang ditetapkan, Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan alternatif-alternatif lain.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ALISSALA THIAN

Video : SITI NURATIKAH RAHMAT