Kerajaan Negeri hargai bakat anak muda

Admin

Oleh :  AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWNSebagai penghargaan dan pengiktirafan hasil pencapaian cemerlang, baru-baru ini telah berlangsung Majlis Penyampaian Sumbangan Penghargaan Kerajaan Negeri Pulau Pinang kepada individu cemerlang dan pencipta muda cemerlang di sini.

“Kerajaan Negeri menghargai semangat dan pencapaian yang dicapai oleh warga Pulau Pinang tidak kira sama ada dalam lapangan sukan mahupun teknologi perkomputeran.

“Kita (Kerajaan Negeri) berasa amat bangga kerana mereka tidak kenal istilah putus asa dan akhirnya membuahkan hasil,” ujar Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng dalam sidang media khas yang diadakan di pejabat beliau di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau turut menyarankan agar lebih ramai belia mengikut jejak langkah penerimapenerima sumbangan penghargaan berkenaan.

MOHD. Faizal Abd. Wahab (kiri), Tan Yin Keat (tengah) dan Tan Yin See (kanan) menunjukkan sijil penghargaan daripada Kerajaan Negeri di sini baru-baru ini.
MOHD. Faizal Abd. Wahab (kiri), Tan Yin Keat (tengah) dan Tan
Yin See (kanan) menunjukkan sijil penghargaan daripada Kerajaan
Negeri di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Mohd. Faizal Abdul Wahab, 29, ketika ditemui berkata, minat yang mendalam telah mendorong beliau mempelajari bidang teknikal berbasikal dan telah menceburi sukan berbasikal seawal usia 16 tahun.

“Sekarang ini susah nak dapat (individu) yang komited.

“Saya dah (sudah) melatih beberapa individu, tetapi tak ada satu pun yang boleh diketengahkan,” ujar Faizal yang turut menegaskan bahawa disiplin dan semangat merupakan prinsip asas untuk berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi termasuk melahirkan mekanik profesional dalam sukan berbasikal.

Bagi adik-beradik, Tan Yin See, 35, dan Tan Yin Keat, 27, usaha mencipta  aplikasi sistem operasi iOS untuk iPad iaitu ARMS Point of Sale and Retail Management System – iOS Restaurant Point of Sale System yang pertama di dunia akhirnya membuahkan hasil.

“Kami mengambil masa lebih kurang tiga bulan untuk siapkan aplikasi ini.

“Kini, ia dijual pada harga USD39.99 atau lebih kurang RM120.00 di pasaran,” ujar Yin Keat mewakili syarikat miliknya, Websmith ATP Sdn. Bhd. yang turut memenangi Anugerah Most Promising Icon2 Development bersempena penganjuran KLCC GoMobile Exhibition di Kuala Lumpur Mei lalu.

Ketiga-tiga anak muda terbabit masing-masing menerima sumbangan bernilai RM500 berserta sijil penghargaan yang disampaikan Guan Eng.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Abdul Malik Abul Kassim.