Kerajaan Negeri komited beri sokongan kepada Pusat Jagaan Darul Hanan kekal prestasi terbaik

PINANG TUNGGAL – Sempena kedatangan Ramadan tidak lama lagi, seramai 70 warga emas yang menghuni Pusat Jagaan Darul Hanan menerima sumbangan barangan keperluan asas daripada Kerajaan Negeri.

Sumbangan melalui Yayasan Food Bank itu disampaikan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow sempena lawatan singkat beliau ke pusat jagaan berkenaan di sini.

Antara kemudahan yang disediakan kepada penghuni Pusat Jagaan Darul Hanan.

Dalam ucapannya, beliau berkata bahawa Kerajaan Negeri akan terus memberikan sokongan kepada Pusat Jagaan Darul Hanan supaya kekal menjadi contoh terbaik kepada pusat jagaan warga emas lain di negara ini.

“Saya dimaklumkan bahawa Pusat Jagaan Darul Hanan menjadi contoh terbaik kepada pusat jagaan orang-orang tua di lain-lain negeri.

“Sesungguhnya, saya amat berbangga kerana pusat jagaan ini berada di Pulau Pinang. Justeru, diharapkan agar semua pihak dapat memberikan komitmen serta mengekalkan prestasi terbaik agar kita semua dapat terus berbakti kepada golongan yang memerlukan ini.

Salah seorang warga emas sedang menjalani rawatan fisioterapi di Pusat Jagaan Darul Hanan.

“Tahniah dan syabas diucapkan kepada pihak pengurusan termasuk Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan Zakat Pulau Pinang (ZPP) yang menjadi tonggak kepada kejayaan pusat jagaan ini.

“Sekalung penghargaan juga kepada pihak pengurusan dan kakitangan sokongan (Pusat Jagaan Darul Hanan) kerana menjadi petugas barisan hadapan sewaktu COVID-19,” ujar Kon Yeow dalam ucapan ringkasnya sebelum menyampaikan sumbangan tersebut sebentar tadi.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I merangkap Yang diPertua MAINPP, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar merangkap Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri, Teh Lai Heng; Pegawai Penerangan Bahagian Penerangan Kerajaan Negeri, Pejabat Ketua Menteri, Zahar Zainul serta Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Ooi Yong Wooi.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Pusat Jagaan Darul Hanan, Datuk Jahara Abdul Hamid; Setiausaha Ahli Lembaga Pemegang Amanah Pusat Jagaan Darul Hanan merangkap Pengarah Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) Zulkifli Long serta Ketua Pegawai Eksekutif PPZ,  Amran Hazali juga turut hadir.

Dalam pada itu, Ahmad Zakiyuddin sebelum itu berkata bahawa Kerajaan Negeri amat prihatin terhadap nasib golongan warga emas di negeri ini dan akan terus memainkan peranan dalam membantu pihak-pihak yang menjalankan kerja-kerja sosial.

Chow Kon Yeow menyantuni warga emas yang hadir menerima sumbangan.

“Sebagai agensi Kerajaan Negeri, MAINPP akan terus menyokong usaha mana-mana pihak yang ingin memberikan bantuan atau khidmat sosial di negeri ini,” katanya yang juga ADUN Pinang Tunggal.

Difahamkan, Pusat Jagaan Darul Hanan yang telah beroperasi sejak 10 tahun lalu kini menempatkan seramai 70 warga emas berumur lebih 60 tahun terdiri daripada lelaki (48) dan wanita (22).

Antara prasarana yang disediakan di pusat jagaan berkaitan termasuk asrama, perpustakaan, kafeteria, wad, surau, dewan serba guna serta bengkel selain turut menyediakan perkhidmatan kaunseling dan juga bimbingan agama.

Kesemua warga emas yang mendaftar di pusat jagaan berkenaan akan terus diberikan penempatan dan perlindungan sehingga ke akhir hayat mereka.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD