Kerajaan Negeri perkukuh agenda bebas rokok, tangani ancaman produk nikotin baharu

Admin
c8b4f049 cb15 46ec a8c4 a5016a408d88

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang komited memperkukuh agenda persekitaran bebas rokok menerusi pelaksanaan dasar kesihatan awam, penguatkuasaan serta kerjasama pelbagai pihak bagi menangani ancaman produk nikotin baharu, khususnya rokok elektronik atau vape.

Exco Kesihatan, Belia dan Sukan, Daniel Gooi Zi Sen berkata, cabaran kawalan tembakau kini semakin berkembang apabila penggunaan produk nikotin baharu mula mempengaruhi golongan muda yang sebelum ini bukan perokok.

Menurut beliau, usaha melindungi generasi muda daripada ketagihan nikotin perlu menjadi keutamaan bersama, terutama sekali susulan pemasaran produk berkenaan yang menggunakan perisa menarik, reka bentuk berwarna-warni serta pengaruh media sosial.

“Ancaman kini bukan lagi terhad kepada rokok tradisional, sebaliknya turut melibatkan usaha mencegah generasi baharu daripada terjebak dengan ketagihan nikotin.

“Pada masa sama, kita tidak boleh membiarkan kepentingan komersial mengatasi kesihatan dan kesejahteraan anak-anak kita,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Bebas Asap Rokok Asia Pasifik Ke-10 (10th Asia-Pacific Smoke-Free Meeting) dekat sini pada 12 November 2026.

06b0e0ea 2605 4d9b 8220 983438b120b3
ZI Sen ketika sesi berucap.

Mengulas lanjut, Zi Sen turut memaklumkan bahawa Malaysia telah mengambil langkah penting menerusi pengenalan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) bagi memperkukuh kerangka kawalan tembakau negara, termasuk menangani cabaran berkaitan rokok elektronik.

“Pelaksanaan undang-undang perlu disokong dengan pendidikan awam, penguatkuasaan berkesan serta kerjasama erat antara agensi kerajaan dan komuniti.

“Sebagai sebuah negeri yang mempunyai warisan budaya kaya, industri pelancongan yang rancak serta masyarakat berbilang kaum, kita bertanggungjawab memastikan ruang awam, tempat kerja, restoran dan komuniti kekal bersih, selamat serta sihat untuk semua,” jelasnya.

Selain itu, Zi Sen turut menyatakan bahawa pihak berkuasa tempatan (PBT) mempunyai peranan penting dalam memperkukuh agenda bebas rokok memandangkan kedudukannya yang lebih dekat dengan masyarakat serta memahami cabaran di peringkat komuniti.

Jelas beliau, kerjasama turut perlu diperkasakan bersama sektor kesihatan, institusi pendidikan, pertubuhan masyarakat sivil, pemimpin komuniti, ibu bapa dan golongan belia bagi memastikan usaha berkenaan dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

5cb40107 fc39 42e0 9c8f 3e8abe2b4a7e 86eea90e 64ee 4b73 9cc8 80f249d0d145
Tambah Zi Sen, kerjasama serantau juga perlu terus diperkukuh susulan kejayaan pelbagai negara dan bandar dalam mewujudkan persekitaran bebas rokok menerusi kempen Towards a Smoke-free ASEAN yang dilancarkan pada 2012 serta ASEAN Smoke-free Awards yang diperkenalkan pada 2024.

“Selepas dua penganjuran anugerah tersebut, sebanyak 12 bandar dan sebuah negara kota telah menerima pengiktirafan atas kecemerlangan mewujudkan serta mengekalkan persekitaran bebas rokok.

“Justeru, diharapkan Mesyuarat Bebas Asap Rokok Asia Pasifik Ke-10 ini dapat menjadi platform perkongsian pengalaman, pengukuhan kerjasama dan penghasilan tindakan lebih berkesan ke arah masa depan bebas tembakau dan nikotin.

“Kejayaan kita tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah kawasan bebas rokok yang diwujudkan semata-mata, tetapi juga sejauh mana kita berjaya menghalang generasi akan datang daripada terjebak dengan ketagihan tembakau dan nikotin,” ujarnya.

Majlis tersebut turut menghimpunkan wakil-wakil kerajaan dan PBT dari rantau Asia Pasifik; Southeast Asia Tobacco Control Alliance (SEATCA) serta Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : ALISSALA THIAN