Kerja mitigasi tanah runtuh Taman Seri Rambai dijangka selesai dalam tempoh 5 bulan

Admin
img 20261110 wa0029

GEORGE TOWN – Kerja-kerja mitigasi kecemasan dan penstabilan cerun susulan kejadian tanah runtuh di Taman Seri Rambai, Paya Terubong dijangka mengambil masa antara empat hingga lima bulan untuk disempurnakan.

Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa, Jason H’ng Mooi Lye berkata, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang telah memberi kebenaran kepada jurutera awam pihak pemaju untuk melaksanakan kerja-kerja mitigasi berkenaan.

“Kebenaran itu diberikan selepas JKKP menerima dokumen lengkap serta permohonan rasmi daripada Aptitude Consulting Engineers Sdn. Bhd. pada 11 November 2026, tertakluk kepada kelulusan dan kebenaran agensi-agensi lain yang berkaitan.

“Kerja-kerja mitigasi yang dibenarkan merangkumi mitigasi kecemasan sistem saliran permukaan (ESCP) dan penstabilan cerun di kawasan runtuhan (Zon 1), selain kerja-kerja penstabilan pencegahan terhadap cerun potongan terdedah di tapak pembinaan,” katanya dalam kenyataan media bertarikh 12 November 2026.

Dalam pada itu, Mooi Lye turut memaklumkan bahawa pihak pemaju dan kontraktor turut diingatkan supaya mematuhi sepenuhnya peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, termasuk semua peraturan, kehendak serta arahan yang ditetapkan oleh agensi-agensi berkaitan.

Mengulas lanjut mengenai status empat unit rumah yang dikosongkan susulan kejadian itu, Mooi Lye menyatakan bahawa penduduk masih belum dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing sehingga kerja-kerja mitigasi di Zon 1 disempurnakan sepenuhnya.

Jelasnya, kebenaran untuk kembali menduduki rumah hanya boleh dipertimbangkan selepas mendapat pengesahan daripada Jurutera Geoteknikal.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL