Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak sentuh seincipun Hutan Simpanan Kekal dalam tempoh 10 tahun – Guan Eng

Admin

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Statistik oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia menunjukkan bahawa Pulau Pinang merupakan satu-satunya negeri di Semenanjung Malaysia yang tidak ‘sentuh’ seincipun Hutan Simpanan Kekalnya.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, statistik tersebut jelas menunjukkan bahawa jumlah keluasan Hutan Simpanan Kekal yang dilesenkan untuk pengusahasilan bagi setiap negeri di Semenanjung Malaysia.

“Pahang misalnya, menjadi negeri yang paling banyak menebang Hutan Simpanan Kekalnya iaitu 161,379 hektar diikuti oleh Kelantan (157,919 hektar).

“Bahkan, Perlis, negeri terkecil di Malaysia juga menebang 167 hektar Hutan Simpanan Kekal, tetapi di Pulau Pinang, tidak seincipun ‘disentuh’ dalam tempoh 10 tahun ini.

“Jadi, adalah tidak benar laporan beberapa akhbar yang mendakwa bahawa banyak kawasan hijau di Pulau Pinang terjejas sedangkan Pulau Pinang merupakan negeri yang menjaga Hutan Simpanan Kekal dan betu-lbetul hijau,” responsnya sebagai menyangkal dakwaan beberapa laporan akhbar pada sidang media di sini baru-baru ini.

Mungkin, menurut Guan Eng, ada sesetengah pihak yang terkeliru dengan projek berkepentingan awam yang dilaksanakan di cerun-cerun bukit.

“Sebagai contoh, projek Jalan Bukit Kukus, Paya Terubong yang merupakan projek membina jalan berkembar (melibatkan
kawasan cerun bukit)…setelah siap projek itu kelak, kawasan hijau di sini akan dipulihkan semula.

“Projek ini penting terutama bagi penduduk di kawasan tersebut, kerana ia dapat melegakan kesesakan aliran trafik di kawasan sekitar, malah penduduk di situ (kawasan Paya Terubong) juga tahu dan faham bahawa projek ini penting untuk mereka,” jelasnya.

Difahamkan, projek Jalan Bukit Kukus yang menelan kos RM545 juta itu merupakan projek Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dengan kerjasama dua syarikat swasta iaitu Geo Valley Sdn. Bhd. dan PLB Land Sdn. Bhd. dan dijangka siap menjelang tahun 2019.