Tapak pembinaan bebas denggi, dua pemaju terima pengiktirafan

Admin

GEORGE TOWN – Pemaju, Zhong Ying Construction Sdn. Bhd. (Zhong Ying) dan Builtech Project Management Sdn. Bhd. masing-masing terpilih sebagai penerima Anugerah Tapak Pembinaan Bebas Aedes 2016 bagi peringkat pulau dan Seberang Perai di sini baru-baru ini.

Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata, anugerah tersebut adalah bagi menghargai usaha para kontraktor dan syarikat pemaju dalam mendokong aspirasi Kerajaan Negeri untuk menghapuskan penularan kes denggi di Pulau Pinang.

“Ini adalah sebahagian daripada kempen untuk menghargai jasa pihak kontraktor dan pemaju yang menyokong usaha Kerajaan Negeri membanteras denggi.

“Seperti kita tahu lokasi-lokasi utama yang selalu menjadi kawasan infeksi denggi adalah membabitkan tapak-tapak pembinaan.

“Syabas diucapkan kepada kedua-dua syarikat ini kerana telah mencatatkan rekod cemerlang yang mana tiada langsung lokasi pembiakan nyamuk aedes ditemui di kawasan pembinaan masing-masing,” ujarnya yang\ juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya pada majlis berkaitan.

Majlis penyampaian anugerah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon.

Berkongsi bersama Buletin Mutiara, Pengurus Besar Zhong Ying, Lim Hun Hooi menyatakan bahawa bagi memastikan persekitaran tempat pembinaannya sentiasa bersih dan bagi mengelak pembiakan nyamuk aedes, pihaknya menugaskan sekurang-kurangnya dua pekerja untuk menjalankan rutin pembersihan setiap hari.

“Kita memang tugaskan di antara dua hingga tiga pekerja untuk membuat pembersihan setiap hari.

“Ini adalah penghargaan pertama yang diterima, diharap kami dapat mengekalkan mutu kebersihan ini dan menjadi contoh kepada tapak-tapak pembinaan lain,” ujarnya.